SETIAWANGSA: Jentera
PAS diseru memiliki rutin umpama "Singa di siang hari dan Abid di malam
hari" agar mampu teguh menghadapi PRU14 yang pastinya menjadi pilihan
raya paling sengit.
Nasihat itu dititipkan Ahli Jawatankuasa
Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad ketika merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan PAS Kawasan Setiawangsa Kali Ke-15 di Dewan KAFA Al-Ansar, di
sini semalam.
Menurutnya, cabaran PRU14 juga
melibatkan pertembungan akidah yang bukan sahaja menuntut persiapan
ruhiyah, tetapi dikukuhkan juga dengan disiplin dan adab dalam
berhadapan musuh.
Malah, beliau menyeru ahli PAS supaya
memiliki keyakinan utuh kepada Allah S.W.T di mana biarpun PAS akan
diperangi tiga penjuru atau lebih, namun kelebihan pasti dianugerahkan
Allah kepada perjuangan Islam yang memenuhi syarat.
Menurutnya, PAS adalah parti yang
mempunyai pemimpin dan anggota tersusun serta ikhlas seumpama yang
disifatkan Rasulullah terhadap pasukan tentera Islam pembuka Kota
Konstatinople.
"Kota Konstatinople akan dibebaskan, di
mana rajanya sebaik-baik raja dan tenteranya sebaik-baik tentera,"
ujarnya mengungkap hadis itu membangkitkan semangat para perwakilan dan
pemerhati.
Jelasnya lagi, PAS yang istiqamah dengan
perjuangan Islam kesinambungan para Anbiya, sama sekali tidak terpalit
dengan salah laku rasuah dan penyelewengan berbanding lawan sama ada BN
mahupun PH.
Oleh itu terangnya, peranan dan
kesungguhan setiap ahli PAS untuk menyumbangkan harta dan jiwa raga di
posisi masing-masing adalah kebaikan dan kebajikan.
Semua itu terangnya, bukan sahaja akan
mendatangkan manfaat untuk manusia, tetapi juga akhirnya beroleh
ganjaran Syurga dan keredhaan Allah sebagaimana dinyatakan dalam
al-Quran.
Kamaruzaman turut menyentuh usaha pihak
musuh mengemukakan RUU164 sebagai usaha melemahkan Islam, sedang PAS
berusaha memenangkan RUU355 yang menguatkan Mahkamah Syariat.
Bahkan usaha PAS tegas beliau, selari
dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama
Persekutuan dan menjamin kebebasan agama lain diamalkan.
Kerana itu ujarnya, ahli PAS mesti
kehadapan dalam memperjuangkan Islam kerana mereka merupakan benteng
terakhir membela Islam dan bukannya Umno.
Sedangkan Umno kata beliau, hanya
mempergunakan Islam mengikut kehendak mereka, manakala Pakatan Harapan
pula jelas memusuhi Islam.
Tegasnya juga, PAS adalah parti yang
menerima semua tanpa mengkesampingkan atau bias kepada mana-mana
perbezaan agama, budaya atau kaum sebagaimana jelas pada asas Budaya
Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
Beliau juga membaca amanat Presiden PAS
yang antara lain menekan dasar perjuangan PAS iaitu agar masyarakat
mempunyai nilai Islam dan kedaulatan negara berdasar pemerintahan
Islam. -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan