Khamis, 22 Februari 2018

Pekerja am dipenjara 80 tahun, 24 sebatan rogol anak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini hari menjatuhkan hukuman penjara 80 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang pekerja am selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan merogol anak kandungnya.
 
Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 40 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan enam sebatan bagi setiap pertuduhan.
 
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, hanya mengangguk kepalanya ketika keputusan dibacakan kepadanya, dan hakim memutuskan supaya hukuman dijalankan secara berasingan.
 
Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu terhadap anak perempuannya sebanyak empat kali dalam tempoh tiga tahun lepas, bermula sejak Mac 2015 ketika mangsa itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Padawan.
 
Mangsa juga dibawa oleh bapanya ke farmasi dan dipaksa makan pil pencegahan kehamilan selepas dirogol, dan selepas tidak tahan dengan keadaan tersebut, mangsa bertindak memberitahu ibunya mengenai perlakuan bapanya itu melalui aplikasi WeChat.
 
Tertuduh ditahan beberapa bulan lalu, selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
 
Terdahulu, tertuduh, yang menundukkan muka sepanjang prosiding berlangsung, memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia harus menjaga tiga anak perempuan terasuk mangsa dan seorang lelaki.
 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa trauma.
 
 

Tiada ulasan: