Khamis, 22 Februari 2018

PH Selangor ada tempoh sehingga Isnin selesaikan rundingan kerusi - Saifuddin

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor diberi tempoh sehingga Isnin depan bagi menyelesaikan isu rundingan agihan kerusi DUN di negeri itu.
 
Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan, jika mereka masih gagal untuk menyelesaikan rundingan dalam tempoh yang diberikan, tugas itu akan diambil alih Majlis Presiden gagasan itu.
 
"Tarikh akhir untuk Selangor sebenarnya bukan Jumaat. Ianya Isnin. Ada beberapa negeri yang hanya beberapa kerusi yang perlu diselesaikan. Jadi kami telah nasihatkan mereka untuk selesaikan sebelum Jumaat. 
 
"Ada satu dua negeri yang perlukan masa, Majlis Presiden faham. Kami berikan mereka masa sehingga Isnin," katanya kepada pemberita selepas memfailkan permohonan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
 
Sebelum ini, rundingan kerusi PH di Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, masih gagal dimuktamadkan, ekoran terdapat pertindihan tuntutan kerusi antara PPBM dan PKR berhubung 12 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
 
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa PH negeri itu akan mencapai kata sepakat bersabit soal agihan kerusi DUN tanpa perlu membawa perkara berkenaan ke peringkat Majlis Presiden.
 
Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada 31 Januari lepas, namun dilanjutkan kepada 7 Februari berikutan pertikaian antara keempat-empat parti komponen PH.
 
Semalam Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa tujuh daripada 11 negeri gabungan itu untuk menyelesaikan isu agihan kerusi DUN sehingga Jumaat ini.
 
Ujarnya, ini kerana wujudnya ketidaksepakatan antara keempat-empat buah parti dalam gabungan itu di beberapa kawasan.
 
Dr Mahathir semalam juga memberitahu bahawa proses rundingan kerusi DUN hanya berjaya diselesaikan di empat buah negeri setakat ini.
 
"Dalam soal rundingan kerusi tak senang. Ada banyak benda yang perlu diambil kira. Kami yakin kita akan selesaikan semuanya. Sudah tentu kami akan umumkan apabila ianya selesai. 
 
"Saya hanya boleh katakan negeri dah selesai. Negeri sembilan, Johor, Kedah dan Perlis. Empat negeri. Tapi ini kali pertama kita selesaikan lebih awal. Ini menunjukkan kita lebih serius. Tapi saya tidak pasti BN telah selesai, mungkin boleh tanya kepada mereka," demikian ulas Saifuddin lagi.
 
 

Tiada ulasan: