Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor diberi tempoh sehingga
Isnin depan bagi menyelesaikan isu rundingan agihan kerusi DUN di negeri
itu.
Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan, jika mereka
masih gagal untuk menyelesaikan rundingan dalam tempoh yang diberikan,
tugas itu akan diambil alih Majlis Presiden gagasan itu.
"Tarikh akhir untuk Selangor sebenarnya bukan Jumaat. Ianya Isnin. Ada
beberapa negeri yang hanya beberapa kerusi yang perlu diselesaikan. Jadi
kami telah nasihatkan mereka untuk selesaikan sebelum Jumaat.
"Ada satu dua negeri yang perlukan masa, Majlis Presiden faham. Kami
berikan mereka masa sehingga Isnin," katanya kepada pemberita selepas
memfailkan permohonan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di
Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
Sebelum ini, rundingan kerusi PH di Selangor yang dipengerusikan
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, masih gagal dimuktamadkan,
ekoran terdapat pertindihan tuntutan kerusi antara PPBM dan PKR
berhubung 12 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebelum ini menyatakan
keyakinannya bahawa PH negeri itu akan mencapai kata sepakat bersabit
soal agihan kerusi DUN tanpa perlu membawa perkara berkenaan ke
peringkat Majlis Presiden.
Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada
31 Januari lepas, namun dilanjutkan kepada 7 Februari berikutan
pertikaian antara keempat-empat parti komponen PH.
Semalam Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa tujuh daripada
11 negeri gabungan itu untuk menyelesaikan isu agihan kerusi DUN
sehingga Jumaat ini.
Ujarnya, ini kerana wujudnya ketidaksepakatan antara keempat-empat buah parti dalam gabungan itu di beberapa kawasan.
Dr Mahathir semalam juga memberitahu bahawa proses rundingan kerusi DUN
hanya berjaya diselesaikan di empat buah negeri setakat ini.
"Dalam soal rundingan kerusi tak senang. Ada banyak benda yang perlu
diambil kira. Kami yakin kita akan selesaikan semuanya. Sudah tentu kami
akan umumkan apabila ianya selesai.
"Saya hanya boleh katakan negeri dah selesai. Negeri sembilan, Johor,
Kedah dan Perlis. Empat negeri. Tapi ini kali pertama kita selesaikan
lebih awal. Ini menunjukkan kita lebih serius. Tapi saya tidak pasti BN
telah selesai, mungkin boleh tanya kepada mereka," demikian ulas
Saifuddin lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.