Rabu, 21 Februari 2018

Kenapa YB duduk depan lubang?

ISMA WEB


Yang penting rakyat nak pilih kerajaan yang tak 'berlubang'


SENYUM simpul Pedang tengok tiga keping gambar Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, yang sedang berdoa di tepi lubang di Jalan Bukit Berlian, hari ini.

Ramai yang telah kongsi kenyataan dan gambar yang YB Ahli Parlimen Tangga Batu, Melaka itu muat naik dalam laman Facebook beliau hari ini. Tak pasti pula bila gambar itu dirakam dan siapa yang merakamnya. Boleh jadi pemandu beliau.

Dalam kiriman itu, YB Abu Bakar berkata:

“10.40pg Saya Berdoa Pagi Ini …Adalah Dato Bandar ke?…Pegawai Daerah Ke?..Ahli Majlis Ke? Datang Melihat Lubang di Jalan Bukit Berlian Yg Makin Membesar dan Menggunakan Kuasa Mutlak Yg Ada Untuk Menampal Jalan Ini, Sebelum Ada Warga Tangga Batu Yg Patah Kaki Atau Tercedera.

“Ya Allah Makbulkan Permohonan Hamba Mu Ini Ameen”..Setiap Hari Saya Mesti Rajin. Kita Kena Buat Kerja Yg Berfaedah. Warga Tangga Batu Sentiasa di Hati.”

Bagus YB. Doa untuk kesejahteraan rakyat. Doa supaya rakyat di bawah tanggungan YB tidak menderita, tak susah, sebab nanti YB juga yang kena jawab sama ada atas dunia atau di akhirat.

Ramai netizen puji YB ambil berat masalah jalan-jalan yang berlubang sepertimana kiriman YB dalam Facebook hari ini. Netizen juga tolong mengaminkan doa YB. Pedang pun kata ‘Aaminn’.

Insya-Allah akan ditutup semua lubang atas jalan, bukan saja di kawasan YB, tapi di kawasan lain seluruh negara sikit hari lagi. Almaklum lah dah tak lama rakyat nak pilih YB baru, nak pilih siapa yang patut jadi kerajaan.



Rakyat nak pilih siapa yang tak suka lihat jalan ada lubang. Dan, yang penting rakyat nak pilih kerajaan yang tak ‘berlubang’.

Tapi, YB Dr Abu Bakar, ada juga sisi lain tak sesuai sangat YB duduk bersila depan lubang sambil tadah tangan berdoa. Bukan tak boleh nak berdoa, tapi jangan lah hingga duduk tepi lubang tu macam orang puja sesuatu. Nasib baik tak ada bekas kemenyan.

Lagipun, YB bertaraf timbalan menteri, kena jaga kedudukan supaya tidak ada orang kata “pilihan raya makin hampir, makin pelik jadi pada orang politik”.

Sanggup ambil gambar dalam hutan getah, masuk bendang main lumpur, orang Utara kata main selut, keleboq. YB pula sanggup duduk depan lubang atas jalan yang tak seberapa dalam. Hingga ada yang komen suruh YB korek lubang tu bagi dalam lagi.

Tapi, itulah hakikatnya semakin dekat pilihan raya yang rata-rata kata akan diadakan pada 24 Mac, semakin hampir pula YB-YB dengan rakyat. Kalau tidak, YB duduk jauh dari rakyat. Nak jumpa YB kena datang pejabat, buat temu janji dulu baru boleh jumpa. Tapi sekarang YB sendiri turun jumpa rakyat.

Belum tahu lagi YB-YB yang ada sekarang akan terpilih mewakili parti masing-masing, walaupun sanggup masuk hutan getah, main lumpur atau duduk berdoa tepi lubang.

Lagipun, apa yang Pedang tahu, pengundi Melayu sekarang bukan lagi melihat kepada parti, tetapi individu yang menjadi calon. Orang Cina dan India masih setia kepada parti yang menjaga kepentingan mereka.

Jadi, Pedang harap lepas ini tak ada lagi YB duduk tepi lubang, tak ada lagi YB atau YAB yang menghamburkan janji projek berbilion-bilion ringgit, semata-mata untuk menunjukkan keprihatinan kepada masalah rakyat.

Berbilion-bilion yang dijanjikan itu bukan duit siapa, duit rakyat juga. Diberi, kemudian disedut balik perlahan-lahan menerusi kaedah ekonomi dan cukai.

Dan, pada kesempatan ini Pedang sekali lagi ingatkan pengundi Melayu supaya tidak mengundi calon MCA, MIC, Gerakan dan DAP. Pemimpin mereka lah sebelum ini yang menentang keras usaha kita untuk memartabatkan Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam. Maknanya, mereka ini ANTI-ISLAM. Buat apa undi orang yang menentang Islam.

Kata Pedang: Khabarnya harga minyak petrol dan diesel akan turun lagi mulai 22 Februari hingga 28 Februari. Kali ini, turun tak sampai lah 10 sen. Mungkin antara 5 sen hingga 8 sen seliter.

*Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. 

Tiada ulasan: