Rabu, 8 November 2017

[KEMASKINI] Kerajaan akan hantar balik Zakir Naik jika India mohon ekstradisi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan sehingga hari ini tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi dari kerajaan India untuk menghantar semula penceramah agama Dr Zakir Naik ke negara asalnya.
 
Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat, hari ini.
 
"Jika pihak India memohon ekstradisi dikenakan beliau berdasarkan kepada MLA, Mutual Legal Assisten kita akan hantar beliau. Setakat ini tidak ada permohonan," kata Zahid.
 
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menafikan laporan sebuah surat khabar India, The Hindustan Times pada 30 Mei lalu yang mendakwa Zakir telah memohon menjadi warganegara Malaysia.
 
"Setakat ini tidak ada permohonan untuk menjadi warganegara (Malaysia) daripada beliau," katanya.
 
Bukan itu sahaja, Times of India pada minggu lalu melaporkan kerajaan India akan mengemukakan permohonan rasmi terhadap Malaysia untuk mengekstradisi Zakir.
 
Zakir yang terkenal dengan aktiviti ceramah agama di negara ini sedang disiasat Agensi Siasatan Negara India (NIA), meninggalkan negara itu pada Julai 2016, susulan dakwaan pengikutnya terlibat dalam serangan pengganas di Bangladesh.
 
Pada 18 November 2016, NIA mendaftarkan kes jenayah terhadap Zakir di bawah pelbagai seksyen Kanun Keseksaan India dan Akta Aktiviti (Pencegahan) Undang-undang.
 
Organisasi beliau, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), diisytiharkan sebagai persatuan yang menyalahi undang-undang oleh kerajaan.
 
Kerajaan India mengharamkan IRF dan saluran Peace TV kendaliannya tidak dibenarkan bersiaran lagi.
 
Beliau turut dituduh menyebarkan kebencian dengan ucapan provokatif, selain menyumbang dana kepada pengganas berjumlah jutaan rupee selama bertahun-tahun.
 
Untuk rekod pada April, kerajaan menerusi Zahid memaklumkan memberikan status pemastautin tetap (PR) kepada Zakir sejak lima tahun yang lalu.
 
Ujarnya Malaysia tidak boleh menyiasat Zakir namun negara lain yang mempunyai hubungan dan perjanjian dengan kerajaan negara ini boleh menggunakan kaedah memohon bantuan perundangan bersama (MLA).
 
Semalam pembangkang mempersoal kerajaan apakah Malaysia akan menghantar balik Zakir ke negaranya dan mendakwa penceramah itu diberikan layanan istimewa di negara ini.
 
 

Tiada ulasan: