Selasa, 7 November 2017

Dakwa anak buah diliwat Anwar: PH gesa JAWI siasat Husni

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menggesa siasatan ke atas kenyataan bekas menteri, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat anak buahnya.
 
Terdahulu satu laporan dibuat oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini, pada jam 4 petang tadi.
 
Mereka meminta JAWI menyiasat tuduhan berkenaan mengikut Seksyen 41 Akta 459 iaitu kesalahan qazaf.
 
"(Kesalahan) qazaf apabila seseorang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat tanpa empat orang saksi.
 
"Apa yang dilakukan Ahli Parlimen Tambun (Husni) untuk menyatakan pertuduhan tanpa membawa saksi dan menyebut bahawa anak buahnya menjadi mangsa. 
 
"Islam hendak menghalang sesiapa membuat tuduhan rambang, liar. Itulah sebabnya sesiapa yang membuat qazaf akan dikenakan 80 kali sebatan. (Namun) tidak tahulah ia akan dilakukan atau tidak, tetapi kita serahkan kepada JAWI," demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
 
Husni, yang juga bekas Menteri Kewangan II pada Rabu minggu lalu berkata beliau meninggalkan perjuangan Anwar selepas mendapati Ketua Umum PKR itu terlibat dengan kes liwat dengan anak buahnya.
 
Kenyataan itu dibuat Husni ketika membahaskan Bajet 2018 dan membidas bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Pengerusi dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH).
 
Husni juga menyebut anak buahnya yang menjadi mangsa liwat bernama Hairani Nafis yang merupakan bekas pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
Kenyataan berkenaan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pembangkang dan mendesak Husni mengulangi tuduhan itu di luar Dewan Rakyat.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan mendakwa kelibat Husni tidak lagi kelihatan sehingga ke hari ini selepas membuat tuduhan liwat berkenaan Anwar.
 
Malah beliau memberitahu berjumpa Husni di ruang rehat (louge) Dewan Rakyat untuk mendapatkan penjelasan, yang kemudiannya dijawab oleh Husni 'sudah minta maaf'.
 
Ahli Parlimen Petani Jaya, Datuk Johari Abdul berkata pembangkang akan bertemu dengan pengurusan UKM dalam waktu terdekat untuk mendapatkan maklumat kejadian berkenaan.
 
"Beliau (Husni) kata 'saya tidak tahu, kes ini di UKM tahu' (ketika berucap di Dewan Rakyat).
 
"Adakah UKM tahu kes Hairani Nafis? Kami akan berjumpa pihak UKM untuk mengetahui apa yang berlaku. Jika mereka melindungi maklumat ini adalah perkara yang serius," ujar Johari.
 
Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang juga merupakan peguam Anwar memaklumkan pihaknya akan menasihati pemimpin PKR itu berkenaan tindakan undang-undang yang akan diambil selepas ini.
 
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun, sejak 2015 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
 

Tiada ulasan: