Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Ahli Parlimen pembangkang tetap berpeluang untuk membahaskan
usul pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016
(Akta 355) pada sidang akan datang.
Penganalisis politik, Prof Bersekutu Ahmad Tarmizi Talib berkata bukan
hanya ahli Parlimen pembangkang malah wakil rakyat bukan beragama Islam
juga akan mendapat ruang yang seluasnya untuk membahaskan isu tersebut
kelak.
"Sesi perbahasan tak habis lagi, jadi bila ditangguhkan maknanya dia
akan buka semula (untuk dibahas). Jadi, tak timbul isu tak diberi
peluang. Dah tangguh nak beri peluang apa lagi? Bukan mereka sahaja tak
dapat peluang, ramai lagi nak bahas sebab tak habis lagi.
"Bendanya tak selesai lagi jadi tunggulah peluang. Adalah lah peluangnya nanti," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Semalam, ahli Parlimen pembangkang membantah keputusan Speaker Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menangguhkan perbahasan usul
cadangan pindaan Akta 355 yang dibentang Ahli Parlimen Marang, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Mereka mempersoalkan hak mereka sebagai sorang ahli Parlimen untuk membahaskan isu tersebut.
Sementara itu, Pandikar yang dijumpai pemberita di majlis Ucaptama
dalam Seminar Ahli Parlimen Komanwel Asia Tenggara di bangunan Parlimen,
hari ini berkata beliau memilih untuk 'menjaga kebajikan
kakitangannya'.
Ujar Pandikar, beliau dan pegawainya serta ahli Parlimen yang lain
terpaksa bersengkang mata selama 20 jam bagi memastikan segala RUU
berkaitan urusan kerajaan diselesaikan.
“Sebab itu kemahuan kerajaan yang ingin menyelesaikan semua rang
undang-undang, tetapi saya tidak mahu duduk lama sebab semua kakitangan
saya termasuk Setiausaha Dewan Rakyat tidur di Parlimen.
“Jadi itu kuasa saya, saya tidak mahu duduk lagi mendengar hujah yang
saya rasa tidak masuk akal bagi saya. Jika mereka mengatakan saya
‘bloody fool’, maka sepanjang sembilan tahun saya telah mendengar hujah
mereka yang juga selama ini ‘bloody fool’,” katanya.
Usul meminda Akta 355 adalah bagi meningkatkan had hukuman penjara 30
tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan berbanding hukuman sedia ada
sekarang yang hanya memperuntukkan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan
enam sebatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan