Isnin, 3 April 2017

PAS tak akan keluar dari Selangor, tegas Khairuddin

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS bertegas parti itu tidak akan keluar meninggalkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
 
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata PAS sememangnya perlu kekal dalam pentadbiran negeri kerana kerajaan yang terbentuk itu adalah hasil pencapaian bersama dari tiga parti pada pilihan raya umum lepas.
 
"Ia tiada kaitan dengan usul yang dibuat di peringkat parti untuk memutuskan hubungan dengan PKR. Itu dari sudut hubungan umum antara PAS dan PKR tetapi untuk kerajaan negeri itu adalah hak milik bersama.
 
"Kenapa perlu keluar dari kerajaan negeri Selangor? Itu hak kita, rumah kita kenapa nak bagi kepada orang," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Khairudin mengulas kenyataan yang dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beberapa hari lepas supaya PAS terus kekal dalam kerajaan negeri meskipun wujudnya desakan supaya parti itu meninggalkan pentadbiran Selangor.
 
Dalam pada itu ujarnya, pendirian Azmin itu ekoran menyedari peranan yang dimainkan PAS dalam kerajaan negeri. 
 
"Azmin juga sedar bahawa dia juga takkan menyandang jawatan sebagai Menteri Besar tanpa PAS dan tidak mungkin menang tanpa undi PAS.
 
"PKR tidak boleh bercakap dengan nada yang sombong kerana PRU akan datang sangat jauh berbeza dengan PRU lepas," katanya lagi.
 
Mengulas bersabit usul yang diluluskan beberapa PAS kawasan untuk memutuskan hubungan dengan PKR, kata Khairuddin, usul itu akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama pada muktamar parti hujung bulan ini.
 
"Usul itu kita mengusulkan. Belum diputuskan lagi, akan masuk muktamar kemudian nanti akan diputuskan oleh Majlis Syura. Prosesnya masih lagi panjang. Apapun, proses itu akan melibatkan strategi untuk PRU ke-14.
 
"Adakah Selangor perlu kekal dalam kerajaan dan PAS perlu kekal dalam kerajaan negeri Selangor kerana itu adalah hak PAS," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: