Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PAS tidak takut jika Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mahu
mendedahkan nama tokoh yang rapat dengan pimpinan parti itu menerima
dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebaliknya Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyerahkan
siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan PAS terbuka mengenai
dakwaan yang dikemukakan Rafizi.
"Bagi PAS, kalau dia sebut sumber dari SPRM kita serah pada SPRM. Kita
tidak tahu. Orang yang rapat dengan PAS ni, beribu yang rapat dengan
PAS. Kita pun tidak tahu siapa dia. Bagi kita, kalau beliau ada kes
beliau boleh laporkannya kepada pihak berkuasa.
"Kita tunggu tindakan SPRM. Setakat ini tiada tindakan apa-apa," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Rafizi sebelum ini mendakwa beliau mempunyai maklumat yang menunjukkan
aliran dana daripada akaun berkaitan 1MDB kepada “tokoh yang rapat
dengan pimpinan PAS”.
Namun perkara itu dinafikan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Bukan itu saja, Tuan Ibrahim juga memberi amaran kepada Rafizi untuk
tidak memburukkan nama PAS dengan menggunakan individu yang hanya
kenalan rapat tetapi sedangkan ia tiada kena mengena dengan parti
pimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang itu.
"Yang keduanya, dia tidak boleh nak burukkan nama PAS semata kerana
orang itu rapat dengan pimpinan PAS. Tak boleh nak kaitkan PAS
semata-mata hanya kerana orang tu rapat dengan pimpinan PAS," tegas
beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar dakwaan yang dibuat Rafizi dan
menganggap ianya hanyalah sekadar bagi mengalihkan perhatian rakyat dari
perbincangan usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan) 2016 atau Akta 355.
"Bagi saya dia hanya nak alih isu dari kegagalan dalam bila tuan guru
Presiden bentang RUU355 di tengah kehangatan rakyat dan bincangkan
mengenai usul itu. Sepatutnya beliau tidak perlu alih pada isu lain.
"Bagi saya, ini sekadar untuk alih isu sahaja. PAS takkan layan. PAS takkan layan provokasi beliau," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan