Isnin, 3 April 2017

Khalid tak puas hati penyerang hanya hadapi hukuman denda RM100

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas penyerangnya kerana hukuman tidak melebihi RM100 diperuntukkan tidak memadai berbanding kesalahan.
 
Beliau juga menyifatkan hukuman dihadapi oleh lapan orang yang dituduh menyerang beliau itu sebagai penghinaan terhadap institusi Parlimen.
 
Dalam sidang medianya di sini, Khalid kesal semua penyerangnya di Parlimen pada November lalu didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.
 
"Ini merupakan seolah-olah satu penghinaan terhadap bukan sahaja ahli Parlimen, tetapi institusi Parlimen itu sendiri.
 
"Inilah perkiraan yang digunakan Pejabat Peguam Negara untuk mengenakan caj yang remeh terhadap satu kesalahan yang dilihat begitu besar dan serius, sebab bukan saya sahaja, malah ada juga pegawai polis parlimen yang sempat dipukul dan disepak oleh mereka. Malah mereka juga buat laporan polis, namun tidak digunapakai," kata Khalid.
 
Dalam kejadian 24 November lalu, Khalid diserang hampir 10 individu disyaki penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika sedang berjalan ke Dewan Rakyat.
 
Beberapa penyokong Tajuddin dilihat menghampiri Khalid dengan membuat cubaan untuk mengasari pemimpin Amanah itu, namun sempat dihalang oleh beberapa pegawai keselamatan Dewan Rakyat.
 
Kumpulan itu juga melaungkan "Kami dari Pasir Salak ni bukan sial" serta "Hidup Pasir Salak".
 
Kekecohan itu tercetus rentetan penggunaan perkataan 'sial' yang dilemparkan Khalid terhadap Tajuddin dalam sidang Dewan baru-baru.
 
Perang mulut antara Khalid dan Tajuddin bermula apabila Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menggelarkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok'.
 
Tidak senang dengan kata-kata Tajuddin, Khalid kemudiannya bangkit menyerang dan menggelarnya sebagai 'sial'.
 
Kesal dengan hukuman ringan yang dikenakan terhadap lapan orang penyerangnya, Khalid kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat mengambil tindakan susulan.
 
"Kalau Pejabat Peguam Negara tidak boleh menegakkan keadilan, maka kita harapkan Pejabat Speaker ambil tindakan dan dakwa mereka, serta menuntut mereka didakwa menerusi Seksyen 124," kata Pengarah Komunikasi Amanah itu lagi.
 
Sementara itu, peguam yang mewakili Khalid, Zulhazmi Shariff berkata pihaknya mahu pihak peguam negara mengkaji semula dakwaan itu.
 
"Kami akan tulis surat kepada pihak Peguam Negara dan pendakwa raya untuk kaji kembali dakwaan itu.
 
"Dalam kanun keseksaan ada Seksyen 124 yang memperuntukkan secara jelas tentang serangan terhadap ahli parlimen. Pendapat kami ialah, pihak peguam negara tidak ambil kira 'intention' parlimen untuk menjaga ahli-ahli dan institusinya. 
 
"Jika sekadar menggunakan akta kesalahan kecil, ia memberikan tauladan yang tidak baik dna kemungkinan selepas ini ada lagi orang yang datang ke parlimen dan serang ahli-ahli parlimen," katanya.
 
 

Tiada ulasan: