Sabtu, 21 Mei 2016

Pulangkan tanah adat kami, rayu Orang Asli

MALAYSIAKINI


Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) menuntut kerajaan negeri Pahang supaya memulangkan, sekali gus menyelesaikan dengan segera kemelut tanah adat Orang Asli secepat mungkin untuk keharmornian dan kesentosaan masyarakat itu.

Sambil menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang tidak mengiktiraf tanah adat, Penyelaras JKOAP, Shafie Dris berkata, kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan buruk kepada masyarakat itu.

"Kerajaan negeri dengan sewenang-sewenangnya boleh meluluskan tanah kami kepada pihak lain dengan alasan tanah adat tidak diiktiraf atau diwartakan.

"Kami mengambil contoh apa yang berlaku kepada Kampung Orang Asli Sebayan di Rompin (2004) oleh PKNP, Kampung Orang Asli Lubuk Perah di Bera (2014) oleh Syarikat Seri Jengka selain Kampung Orang Asli Paya Pelong dan Paya Rekoh di Temerloh berlaku sejak (1978) oleh FELDA dan banyak lagi.

"Keadaan ini terus berlaku sedangkan cara hidup, adat budaya dan kepercayaan masyarakat Orang Asli tidak boleh dipisahkan dengan tanah dan hutan serta alam sekelilingnya," jelas beliau dalam kenyataan.

Kira-kira setahun yang lalu, sekumpulan Orang Asli daripada JKOAP telah menyerahkan satu memorandum kepada Adnan yang antara lain menyatakan masalah yang dihadapi termasuk pengiktirafan dan pencerobohan di wilayah dan tanah adat yang diduduki mereka.

Bagaimanapun, kumpulan itu terkejut apabila setibanya perkarangan Bangunan Wisma Seri Pahang, Adnan menyediakan majlis makan tengah hari kepada mereka dengan satu kain rentang bertulis "Terima Kasih MB" turut dipasang.

Adnan cuba mengalihkan perhatian masyarakat Orang Asli daripada masalah yang dihadapi.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, tanah merupakan nadi kepada Orang Asli dan tanah yang dituntut bukan tanah kosong, sebaliknya tanah wilayah adat yang telah diduduki, dinikmati, dihayati dan diwarisi secara turun-temurun.

JKOAP juga akan menghantar satu kenyataan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berhubung perkara itu tidak lama lagi.


Tiada ulasan: