Khamis, 19 Mei 2016

Perkasa desak DAP batalkan J/K Transgender Pulau Pinang


Dr Amini Amir AbdullahDr Amini Amir AbdullahPertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana membentuk Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangang Negeri (Adun)  Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa Dr Amini Amir Abdullah menegaskan, pertubuhan itu berasa sungguh terkejut kerana kelompok transgender tidak sepatutnya diberi layanan yang istimewa sama ada di hospital, penjara atau tandas berasingan kerana jantina mereka adalah jelas lelaki.

"Perkasa berasa kesal kerana kerajaan DAP Pulau Pinang tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam isu yang berkaitan dengan perkara halal dan haram.

"Dalam Islam, kelompok transgender tidak mendapat sebarang pengiktirafan kerana mereka yang melakukan penyerupaan (tasyabbuh) jantina sama ada dari segi tutur kata, tingkah laku, pakaian dan perhiasan serta seumpamanya adalah haram dan berdosa besar," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa lalu, Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang mengadakan mesyuarat pertamanya di dewan undangan negeri selepas kira-kira tujuh tahun melobi bagi jawatankuasa itu dibentuk.

Teh Yee Cheu Teh Yee Cheu Diketuai oleh Teh Yee Cheu sebagai pengerusi sementara jawatankuasa itu, mesyuarat itu turut membincangkan aktiviti yang akan datang untuk komuniti transgender.

Antara aktiviti termasuk kebajikan yang lebih baik untuk masyarakat terpinggir ini, terutamanya bagaimana individu terbabit dirawat di hospital dan penjara dan akan berkempen untuk tandas berasingan bagi transgender.

Anggota jawatankuasa itu ialah Lim Siew Kim (DAP-Sungai Pinang), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga), Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok), Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar ), Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) dan Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).

Adun tunggal Pas di Pulau Pinang, Salleh Man, juga diambil sebagai ahli jawatankuasa.

Tambah Dr Amini Amir lagi, kebanyakan ulama berpendapat mengubah ciptaan Allah adalah haram hukumnya termasuklah menukar jantina. Di samping itu, terdapat beberapa Hadis yang melarang kecenderungan kepada transgenderism, antaranya: Sabda Nabi Muhammad SAW. yang bermaksud:

Rasulullah melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai orang lelaki. Dalam Hadis yang lain, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: Rasulullah SAW. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

"Oleh yang demikian, Perkasa menggesa agar kerajaan DAP Pulau Pinang membatalkan Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang dengan segera dan Perkasa mengambil ketetapan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang mestilah menjaga sensitiviti umat Islam dan tidak bertindak secara semborono.

"Masih ramai komuniti lain yang memerlukan perhatian dan bantuan berbanding dengan kelompok transgender." ujarnya yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa.

Tiada ulasan: