Khamis, 26 Mei 2016

Mahkamah tolak saman Shafee terhadap Badan Peguam, 3 pihak lain

FREE MALAYSIA TODAY


Hakim memutuskan Muhammad Shafee tidak sepatutnya mendedahkan kepada umum maklumat sulit dalam perbicaraan kes liwat Anwar.


Datuk Seri Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah yang difailkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap Badan Peguam Malaysia dan tiga pihak lain berhubung kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah memutuskan bahawa Muhammad Shafee sebagai peguambela dan peguamcara dan juga DPP yang diberikan fiat (pemberian kuasa), tidak sepatutnya mendedahkan kepada umum maklumat sulit dalam perbicaraan kes itu.

“Tidak dipertikaikan bahawa pendedahan itu dibuat pada forum awam dan dihadiri oleh orang ramai,” katanya sambil menambah bahawa membincangkan maklumat dalam perbicaraan secara tertutup hendaklah dibuat dalam forum yang sewajarnya.

Hakim menolak saman selepas mendapati Muhammad Shafee gagal untuk membuktikan dakwaannya terhadap keempat-empat defendan, Badan Peguam Malaysia, peguam Tommy Thomas, bekas hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V. C. George, dan bekas presiden Majlis Peguam Christopher Leong.

Beliau memutuskan bahawa kesemua keempat-empat defendan telah mengemukakan pembelaan berdasarkan imbangan kebarangkalian, komen secara adil dan perlindungan bersyarat.

Kemudian, Muhammad Shafee dalam kenyataan akhbar berkata beliau kecewa dengan keputusan itu dan menambah beliau akan memfailkan rayuan bersama certificate of urgency (sijil untuk menyegerakan keputusan mahkamah) supaya perkara itu didengar dengan segera oleh Mahkamah Rayuan.

Pada Mac tahun lepas, Muhammad Shafee memfailkan saman itu kerana mendakwa bahawa pada 28 Feb, Thomas, yang disokong oleh George telah menyiarkan dan memfailkan usul untuk dibincangkan oleh AGM pada 14 Mac, tahun lepas berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar yang didengar di Mahkamah Persekutuan.

Peguam itu berkata Majlis Peguam dan Leong pada 9 Mac, telah menyiarkan usul dalam laman web Badan Peguam Malaysia bertajuk “Agenda dan Usul bagi Mesyuarat Agung Tahunan ke-69 Badan Peguam Malaysia’ yang boleh diakses oleh semua anggota badan itu.

Usul itu, antara lain, menyentuh kelakuan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya yang mengadakan jerayawara (roadshow berkaitan kes liwat Anwar.

Muhammad Shafee mendakwa bahawa berikutan penyiaran usul tersebut, defendan-defendan secara berniat jahat telah memfitnahnya untuk memusnahkan reputasi dan kerjaya beliau dalam bidang guaman.

Dalam kenyataan tuntutan, Muhammad Shafee, antara lain, memohon pengisytihadran bahawa usul itu bersifat mala fide kerana tujuan usul tersebut ialah hanya untuk mengaibkannya dan bahawa AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu.– BERNAMA

Tiada ulasan: