Rabu, 25 Mei 2016

Mahkamah kekal perintah bayar ganti rugi RM200,000 kepada Anwar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan perintah kepada Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu saman fitnah.
 
Panel yang dianggotai tiga hakim diketuai Hakim Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham menolak rayuan Utusan terhadap jumlah RM200,000 yang diberikan kepada Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada 19 Okt 2015 selepas Anwar memenangi saman fitnah itu terhadap penerbit akhbar berkenaan.
 
Hakim Dr Prasad Sandosham yang bersidang bersama Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Asmabi Mohamad juga memerintahkan Utusan membayar faedah lima peratus kepada Anwar dari tarikh keputusan itu dibuat pada 19 Okt tahun lepas.
 
Panel memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak silap semasa menetapkan Anwar dibayar sebanyak itu dan memerintahkan Utusan Melayu membayar kos RM5,000 kepada Anwar yang hadir di mahkamah hari ini.
 
Anwar, 69, menyaman Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel fitnah terhadapnya pada muka depan dan muka surat 10 Utusan Malaysia bertarikh 17 Jan 2012 berhubung temu bualnya dengan BBC.
 
Anwar memenangi tuntutan terhadap Utusan dan Abdul Aziz itu yang kemudian diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar Anwar sebanyak RM100,000 ganti rugi am dan RM100,000 lagi untuk ganti rugi teruk.
 
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buluh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 mengekalkan pensabitan dan hukuman terhadapnya kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Terdahulu peguam Utusan Melayu Wan Azmir Wan Majid berhujah hakim Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira pensabitan Anwar sebelum ini kerana meliwat dan rasuah semasa menetapkan jumlah ganti rugi itu.
 
Peguam Anwar, Latheefa Koya membalas hujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah pun menimbangkan pensabitan anak guamnya semasa menetapkan jumlah berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: