Rabu, 25 Mei 2016

Khir Toyo bebas menjalani parol Jumaat ini

 
Khir Toyo akan menandatangani dokumen pembebasannya di Pejabat Parol Daerah Klang kira-kira jam 10 pagi ini


Khir-Toyo_rumah_600


KAJANG: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo akan dibebaskan pada Jumaat ini selepas menjalani parol selama dua bulan sejak Mac yang lalu.

Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata Khir Toyo akan menandatangani dokumen pembebasannya di Pejabat Parol Daerah Klang kira-kira jam 10 pagi ini.

“Sepatutnya mengikut tarikh pembebasan, Khir Toyo akan bebas pada 29 Mei ini. Namun setelah diambil kira pada hari itu cuti umum, maka kita akan bebaskan dia pada 25 Mei ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

Sebelum ini Khir Toyo hari telah diberi parol selepas menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, sembilan tahun lepas.

Apapun, Khir Toyo perlu melaporkan diri ke pejabat Lembaga Parol di Klang setiap minggu dan perlu mematuhi 41 syarat yang dikenakan selama tempoh parol.

Terdahulu, jumlah hukuman penjara yang dikenakan ke atas Khir Toyo ialah 12 bulan, bagaimanapun telah dipendekkan kepada lapan bulan kerana sikap yang baik ditunjukkannya.

Tambahnya mana-mana banduan yang menunjukkan sikap yang baik sewaktu menjalani tempoh penjara akan dipertimbangkan untuk dipendekkan tempoh hukuman.

“Macam Khir Toyo ini kita lihat dia mengaku kesalahan dia dan semasa waktu tahanan dia menunjukkan sikap baik dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak penjara.

“Sewaktu dalam menjalani parol juga kita lihat dia sentiasa mengikuti program-program masyarakat dan aktiviti masjid yang dijalankan oleh pihak penjara,” katanya.

Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Khir Toyo dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta daripada Ditamas Sdn Bhd sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Dis 2004.

Khir Toyo, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Beliau yang juga doktor gigi, membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Mei 2013.

Tempoh jawatan menteri besar beliau ialah dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Tiada ulasan: