MALAYSIAKINI
Hakim S Nantha Balan menolak permohonan tersebut semalam selepas mendapati Khairul Azwan gagal melepasi tahap minimum bagi memperoleh kebenaran untuk komital di bawah Aturan 52 Kaedah 3 (2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Khairul Azwan telah memfailkan permohonan itu selepas Rafizi menerbitkan kenyataan dalam blognya berhubung kes samannya fitnah terhadap ahli Parliamen Pandan itu berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat
(MARA) di Australia.
Khairul Azwan berkata terdapat pelanggaran peraturan 'sub judice' berikutan kes itu belum selesai di mahkamah dan oleh itu Mohd Rafizi telah melakukan penghinaan mahkamah.
Dalam penghakiman, Nantha Balan berkata gesaan untuk debat berhubung isu pembelian hartanah oleh MARA itu tidak boleh ditafsirkan sebagai melanggar peraturan 'sub judice' kerana perdebatan adalah sihat, bertenaga dan aspek wajar dalam sistem demokrasi matang dan masyarakat progresif.
Mengenai fakta kes ini, katanya, unsur kepentingan awam mengatasi mana-mana hujah mengenai 'sub judice' kerana perdebatan berhubung isu-isu kepentingan awam tidak boleh disekat atau dikorbankan atas platform 'sub judice'.
"Tetapi, dalam kes ini, saya tidak melihat apa-apa pengecualian diguna pakai untuk mengecualikan perbincangan awam atau penyebaran perkara berkaitan isu pembeliaan hartanah MARA," katanya.
Nantha Balan juga berkata dalam kes ini, beliau tidak melihat sebarang serangan nyata terhadap proses kehakiman atau pada seseorang.
Beliau berkata peraturan umum adalah undang-undang menghina tidak boleh digunakan bagi menyekat perbincangan awam mengenai perkara berkepentingan awam walaupun ia mungkin tertakluk kepada tindakan mahkamah.
Pada 31 Julai 2015, Khairul Azwan memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rafizi berhubung isu pembelian hartanah itu. Mahkamah menetapkan 6 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan kes.
Dalam kenyataan tuntutan, Khairul Azwan berkata Mohd Rafizi telah mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang media di pejabat Mohd Rafizi di Pusat Perkembangan Minda, Uni Infiniti pada 6 Julai tahun lepas.
Khairul Azwan, selaku plaintif, berkata beliau mengadakan sidang media untuk menafikan kenyataan Mohd Rafizi pada hari yang sama.
Beliau, yang juga pengarah syarikat Biosis Group Bhd, berkata kenyataan itu antara lain mempersoalkan kononnya beliau terbabit dalam urus niaga pembelian 746 Swanston Street di Australia oleh syarikat milik penuh Mara Inc. Thrushcross Land Holdings Ltd, yang mengalami ketirisan sebanyak RM63 juta.
Khairul Azwan berkata kenyataan berunsur fitnah itu diterbitkan dalam portal-portal atas talian yang mungkin dikongsi oleh pengguna Internet seluruh dunia.
Beliau mendakwa kata-kata Mohd Rafizi itu telah mencemarkan reputasinya sebagai ahli perniagaan dan ahli politik dan dibenci oleh orang ramai kononnya beliau terbabit dalam urus niaga yang meragukan demi kepentingan kewangan sendiri.
Justeru, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan perintah injunksi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan