Isnin, 9 Mei 2016

Juruterbang mungkin tersangkut dalam helikopter

Juruterbang mungkin tersangkut dalam helikopter
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) masih diteruskan. –Foto Bomba


SHAH ALAM - Polis Sarawak tidak menolak kemungkinan juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas masih berada di dalam helikopter malang yang masih belum ditemui setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, dakwaan itu berasaskan kepada prosedur juruterbang adalah individu terakhir yang keluar jika berlaku sebarang kecemasan.

“Mengikut prosedur, juruterbang adalah individu terakhir keluar jika berlaku sebarang kecemasan dan mungkin juruterbang masih tersangkut pada kerusi," katanya dalam sidang media di Pusat Operasi di Jeti Pekan Lingga, di sini, hari ini.

Pihaknya berharap bantuan alat pengesan sonar dan dron itu mampu membawa kepada penemuan baharu dalam operasi berkenaan.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pagi ini memberitahu telah menggunakan alat pengesan sonar dan dron dalam operasi pencarian juruterbang warganegara Filipina itu di Sungai Batang Lupar, di Lingga, Sarawak.

Manakala, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pula memberitahu pasukan SAR dalam usaha mengesan bangkai helikopter akan mula menggunakan alat pengesan logam.


Tiada ulasan: