Rabu, 25 Mei 2016

Jamal Yunos tidak minat tanding PRK Sungai Besar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi yang mengaitkan dirinya sebagai antara calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang bakal diadakan 18 Jun depan.
 
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasminya, Jamal menegaskan, beliau tidak mempunyai hasrat atau minat untuk bertanding mewakili BN dalam PRK Parlimen berkenaan melainkan komitmen penuhnya untuk membantu memastikan kemenangan besar calon parti itu.
 
"Saya akan menggunakan segala tenaga dan usaha bersama barisan kepimpinan BN Sungai Besar untuk bekerja keras bagi memastikan siapa juga calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti mencapai kemenangan yang lebih besar pada PRK Parlimen ini.
 
"Dengan pendirian saya ini, saya berharap tidak timbul lagi sebarang spekulasi berhubung isu calon PRK Parlimen Sungai Besar," katanya.
 
Dalam pada itu, Jamal yang juga Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar turut mengingatkan semua jentera parti di kawasan itu supaya mengenepikan sebarang perbezaan pandangan atau pendapat melibatkan soal dalaman parti.
 
Sebaliknya, beliau meminta semua jentera BN memberikan fokus dan melaksanakan sepenuhnya gerakan yang telah disusun untuk berhadapan serangan pihak pembangkang dalam kempen PRK Parlimen itu.
 
"Apa yang lebih penting adalah lebih fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi menggerakkan jentera BN yang lebih mantap bagi menghadapi serangan parti pembangkang," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: