Wanita yang menggunakan identiti "Ratu Naga" di alam maya itu menulis kemarahan beliau di Facebook hari ini.
“Nak kena ni, saya akan buat PC (sidang akhbar) jawab balik."
“Saya akan diam? No, biar part saya pula lawan,” katanya, mengulas akuan bersumpah (SD) Azharuddin Othman yang didedahkan pada sidang media hari ini.
Mendakwa dirinya difitnah, Ratu Naga berkata, dia mahu mencari orang yang menuduhnya itu.
“Saya dapat tahu nama saya digunakan untuk kerja memfitnah, saya nak jumpa budak yang guna nama saya ni bersumpah dia kenal saya atau tidak,” katanya.
Difahamkan Ratu Naga, dirujuk sebagai Ema dalam SD itu, akan membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan esok.
Pada Februari lalu, Ema, atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah, didakwa bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana dikatakan menulis status fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Facebook.
Dalam SD itu, Azharuddin, yang berasal dari Terengganu, mendakwa Ema berjanji kepadanya bayaran RM5,000 sebagai balasan membekalkan 900,000 nama daripada pangkalan data untuk untuk menipu tandatangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat.
Nama-nama itu kononnya daripada senarai yang telah disediakan kepada semua parti-parti politik pada pilihan raya umum ke-13.
Walau bagaimanapun, pengaturcara itu mendakwa hanya dibayar RM1,000.
Baru-baru ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa lebih daripada satu juta tandatangan telah berjaya dikumpul sejak Deklarasi Rakyat dilancarkan dua bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan