Hanya dua hari lepas guru tadika M Indira Ghandi membuat laporan polis menyatakan kebimbangan beliau bahawa bekas suaminya melarikan diri dari negara ini.
Kini, seolah-olah kebimbangan itu mungkin menjadi kenyataan.
Mengulas kegagalan polis mengesan mualaf Mohd Ridhuan Abdullah @ K Patmanathan, kemarahan Indira itu dapat difahami.
"Ia tidak logik bagaimana polis tidak dapat mencari dia, kenapa polis tak dapat cari?
"Pihak polis baru sahaja memberikan alasan untuk tidak menahannya. Dia (Ridhuan) adalah rakyat Malaysia, memegang pasport Malaysia, mempunyai kad pengenalan dan menggunakan nombor telefon yang sama sejak lapan tahun lalu. Jadi, mengapa mereka tidak boleh mencari dia?" kata Indira kepada Malaysiakini.
Ibu kepada tiga anak itu terus terang menyatakan kekecewaan beliau terhadap polis.
"Semua orang kecewa dan marah tentang perkara ini. Apa orang asing akan fikir tentang sistem Malaysia?
"Saya tidak dapat meluahkan perasaan marah saya sekarang. Semua orang bertanya kepada saya apa yang polis lakukan (dan) saya tidak boleh memberi jawapan," katanya.
Indira juga mengeluh kerana pihak polis tidak menghubungi beliau dengan maklumat terkini mengenai perkara itu.
"Tiada, tak ada langsung," katanya ketika ditanya sama ada polis telah menghubungi beliau.
Ketua Polis Daerah Ipoh Sum Chang Keong dilaporkan berkata pihak polis telah memeriksa semua alamat Ridhuan dan bertanya ahli keluarganya di mana dia berada, namun tidak dapat mengesan lelaki itu.
Peguam juga terkejut
Peguam Indira, M Kulasegaran, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, juga melahirkan rasa terkejut apabila pihak polis tidak dapat mengesan Ridhuan.
"Ridhuan telah menggunakan nombor telefon yang sama, pasti penyedia perkhidmatan boleh mengetahui.
"Polis juga boleh memohon peruntukan Akta Multimedia untuk mengetahui perkara ini. Ini berada dalam wilayah mereka untuk berbuat demikian.
"Dan dia seorang pelarian sekarang. Jadi mengapa polis meminta orang lain untuk membantu, kerana ia bukan satu perkara yang baru dan (mereka) tidak boleh mencarinya langsung? " kata Kulasegaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan