SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sudah terkena
'checkmate' akibat keghairahan politiknya sendiri, kata penulis akhbar
Utusan Malaysia, Awang Selamat.
Azmin juga padanya kini berada dalam kedudukan yang paling bahaya
apabila tingkah lakunya mengguris hati penyokong tegar Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Awang tertanya-tanya apa nasib Azmin dan mampukah beliau bertahan lama
sebagai Menteri Besar (Selangor)? Atas kertas penyelesaian agak rumit
melainkan Azmin bersungguh-sungguh meminta maaf kepada Anwar dan Azizah.
"Manakan tidak apa yang berlaku seolah-olah Azmin presiden parti dan
bukannya Azizah yang seharusnya dirujuk untuk sebarang keputusan dan
pendirian parti terlebih dahulu," ujar Awang dalam ruangan Analisis
Mingguan, hari ini.
Azmin sebelum ini bertindak menulis surat kebenaran kepada Pengerusi
PKR Sarawak, Baru Bian untuk meletakkan calon di enam kerusi pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, yang menyaksikan parti itu bertembung
dengan DAP, di kesemua kerusi berkenaan.
PKR dan DAP bagaimanapun tewas di keenam-enam kerusi tersebut.
Azmin kini dihambat tekanan selepas Anwar menulis surat tujuh mukasurat
menyatakan kekecewaannya apabila pimpinan PKR terlalu mengagungkan
Deklarasi Rakyat tajaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Umum mengetahui Azmin antara pendokong utama deklarasi itu.
Anwar sebelum ini turut menyokong deklarasi berkenaan sebelum membuat
pusingan U selepas mendapati ia tidak mengangkat suara rakyat secara
total dan hanya melibatkan golongan elit.
"Siapa sangka deklarasi tersebut bukan sahaja gagal mencapai matlamat
menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di luar proses
demokrasi malah ia mengundang musibah kepada PKR khususnya.
"Jika bermain catur, Azmin sudah terkena 'checkmate'. Strategi muafakat
politik bersama Dr Mahathir rupa-rupanya menjadi senjata makan tuan.
Kempen anti-Najib kini bertukar menjadi anti Dr Matahir dan Azmin," ujar
Awang lagi.
Awang juga mengekori rapat isu ketidakpuasan hati PAS terhadap Azmin
selepas ADUN Bukit Antarabangsa itu menuduh presiden mereka sebagai
'tidak tahu apa-apa' yang berlaku dalam parti.
Azmin dilapor berkata demikian sebagai respon apabila Datuk Seri Abdul
Hadi Awang berkata tidak tahu apa-apa bersabit rundingan PKR dengan PAS
berhubung Pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun depan.
Umum mengetahui Azmin sedang berusaha memujuk PAS agar melepaskan
kerusi tradisinya itu walaupun parti Islam itu berkali-kali menegaskan
mereka akan bertanding pada PRK itu.
Azmin juga disahkan mengugut tiga Exco PAS Selangor supaya meletakkan
jawatan jika parti itu tetap mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen
itu.
"Azmin mencetuskan kemarahan PAS pula dengam ugutan agar parti itu
memberi laluan kepada PKR bertanding di Sungai Besar. Tindakannya itu
bagai menjolok sarang tebuan. PAS tak akan berdiam diri," katanya.
PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya malam ini bagi membincangkan isu PRK Sungai Besar.
Parti itu juga dijangka akan membincangkan isu ugutan Azmin terhadap tiga Exconya di Selangor.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi kepada Antarapos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan