Ahad, 6 Mac 2016

Wakil PAS di Deklarasi Rakyat: Hadi berhak beri restu - Nasrudin

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai hak membuat keputusan segera di dalam situasi tertentu bagi kepentingan parti, kata Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan.
 
Sambil merujuk kepada kehadiran dua pemimpin parti yang diberi keizinan Hadi menghadiri majlis menandatangani Deklarasi Rakyat semalam, Nasruddin berkata, walaupun ia bertentangan dengan pendirian awal parti namun itu merupakan strategi yang tertakluk kepada perubahan semasa.  
 
"Berasaskan prinsip Amal Jamaei, Presiden sebagai seorang Amir Jamaah mempunyai hak (hak Amal Jamaei dan hak Perlembagaan parti) untuk membuat keputusan segera dalam situasi tertentu yang dirasakan perlu untuk kepentingan parti dan mencongak strategi semasa.
 
"Lantaran ini hanya melibatkan perkara strategi dan pendekatan yang pastinya tertakluk kepada perubahan semasa yang dilihat perlu oleh pucuk pimpinan. 
 
"Ia bukanlah melibatkan perkara dasar yang tentunya tidak boleh diubah oleh sesiapa melainkan Muktamar Tahunan PAS dan Majlis Syura Ulama PAS," katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
 
Justeru ujar Nasrudin, kehadiran dua pemimpin itu tidak boleh dilihat sebagai sengaja menyanggahi prinsip parti.
 
"Sememangnya situasi ini berbeza malah tidak boleh disamakan dengan tindakan peribadi yang bermaksud sengaja mahu menyanggahi parti atau tindakan peribadi yang tidak mendapat  keizinan daripada pucuk pimpinan," katanya. 
 
Dua pemimpin berkenaan iaitu Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairudin Aman Razali semalam hadir menandatangani Deklarasi Rakyat bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain. 
 
Selain Mustafa dan Khairuddin, turut sama  menandatangani deklarasi itu ialah wakil rakyat PAS, iaitu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Salor, Datuk Husam Musa. 
 
Kehadiran mereka dilihat tidak senada dengan pendirian parti itu seperti yang dinyatakan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
Takiyuddin pada Khamis berkata PAS tidak akan menyertai majlis menandatangani deklarasi yang menuntut pengunduran Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri.
 
Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya petang semalam memberitahu kehadiran Khairuddin dan Mustafa pada majlis berkenaan mendapat kebenaran Hadi.
 
Ujar Tuan Ibrahim, PAS tiada masalah bersabit sokongan terhadap deklarasi itu berikutan ia adalah hak rakyat.
 
 

Tiada ulasan: