Jumaat, 25 Mac 2016

Suhakam diakreditasi semula dengan status 'A'

BERNAMA




Suruhanjaya Hask Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diakreditasi semula dengan status 'A' oleh Jawatankuasa Penyelarasan Antarabangsa (ICC) Institusi Kebangsaan bagi Penggalakan dan Perlindungan Hak Asasi Manusia.

Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee menerima sijil penganugerahan akreditasi semula itu bagi pihak suruhanjaya tersebut pada Mesyarat ICC ke-29 di Geneva pada Selasa.

Dalam kenyataan hari ini, Khaw berkata Suhakam menjalani proses pengakreditasian semula pada November 2015 dan disyorkan Jawatankuasa Kecil ICC mengenai Akreditasi supaya diberi status 'A', yang kemudian diterima Biro ICC.

"Pengakreditasian semulanya sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) dengan status "A" untuk lima tahun lagi dari 2016 hingga 2020 merupakan suatu pengiktirafan dan perakuan oleh rakan setaranya mengenai sumbangannya dalam melindungi dan mempromosi hak asasi manusia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, berikutan pengakreditasian semula itu, Suhakam akan terus menunaikan mandat serta fungsinya untuk memupuk, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia di negara ini.

Ia akan dilaksanakan secara lebih giat dan bersemangat, dengan matlamat akhirnya untuk memastikan hak asasi manusia dinikmati semua pihak di negara ini dengan berlandaskan amalan kesaksamaan dan tidak bersifat menindas, kata beliau.

Menurut beliau, suruhanjaya itu juga akan terus mengambil bahagian dalam forum antarabangsa mengenai isu kemanusiaan.- Bernama


Tiada ulasan: