SHAH ALAM: Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyaman Datuk Seri
Najib Razak untuk menuntut ganti rugi akibat cuai dalam menjalankan
tugasnya sebagai Perdana Menteri, 'tidak akan kemana'.
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berpandangan saman berjumlah RM2.6
juta yang difailkan semalam itu akan ditolak sebelum sempat ia
dibicarakan.
"Tun M (Mahathir) memang berhak untuk menyaman. Namun untuk kes ini
dibicarakan (bagaimanapun) meritnya di mahkamah, saya tidak rasa Tun M
mempunyai 'locus standi'.
"Besar kemungkinan kes ini akan ditolak dari peringkat awal tanpa ia
sempat mendengar merit kes ini (di mahkamah)," katanya ketika dihubungi
Antarapos, hari ini.
Mengulas mengenai locus standi, Mohd Khairul berkata Mahathir bukanlah
individu yang terkesan secara langsung atas dakwaan yang dikemukakan
terhadap Najib.
"Walaupun kelihatan tuntutan Tun M sebagai sesuatu yang logik dan
berasas, tetapi beban pembuktian dan memenuhi keperluan undang-undang
untuk meneruskan saman ini sangat berat dan sukar.
"Hanya keajaiban yang memungkinkan ia boleh diteruskan sehingga ke peringkat perbicaraan penuh.
"'Locus standi' adalah hak untuk mengemukakan saman. Seseorang yang
berhak untuk saman adalah seseorang yang terkesan secara langsung dengan
sesuatu kejadian berkenaan.
"Tun M mendakwa PM cuai dalam tugasnya, maka beliau kena buktikan
kecuaian itu telah mendatangkan kesusahan dan kerugian secara langsung
terhadap dirinya," kata Mohd Khairul lagi.
Hujah itu senada dengan reaksi yang diberikan oleh Ahli Majlis
Tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan Mahathir tidak
mempunyai 'locus standi' untuk berbuat demikian.
Malah beliau juga menyifatkan tindakan Mahathir itu sekadar gimik untuk meraih publisiti.
Semalam Mahathir dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin
dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan
mengemukakan saman terhadap Najib.
Mereka mendakwa Najib melanggar kewajipan fidusiari dan misfeasans
dalam jawatan awam, dengan didakwa mengkompromikan pelbagai siasatan
terhadapnya berhubung dengan skandal 1MDB.
Ketiga-tiga individu ini, yang merupakan antara individu yang bersetuju
dan menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib menuntut
RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan
sebanyak RM42 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan