Jumaat, 25 Mac 2016

Pemuda Umno Selangor dakwa 2 tahun ‘terbiar’

Umno
Umno


SHAH ALAM - Ketua pemuda Umno bahagian di negeri ini mendakwa sayap itu telah ‘terbiar’ selama dua tahun oleh pimpinan atasan parti namun mereka tetap bekerja keras demi parti.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop mengingatkan pimpinan atasan Umno agar sering menjenguk mereka selain turut menyalurkan bantuan kepada ahli sayap itu.

“Jika sudah beri nasihat dan bantuan tapi Pemuda Umno Selangor masih lagi tidak begitu cemerlang, bolehlah nak tegur, nak marah.

“Tapi ini dua tahun mereka buat tak tahu, tiba-tiba baru-baru ini kami dikatakan tidak bekerja. Itu tidak adil bagi kami. Kalau lihat Facebook ketua-ketua pemuda bahagian, semua bergerak aktif,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa ketiga-tiga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri memperkukuhkan semula parti dalam usaha merampas semula Selangor dari Pakatan Harapan.

Beliau turut mendakwa kekalahan Umno ketika PRU13 yang lalu bukan kerana pembangkang kuat sebaliknya Umno sendiri yang lemah.

Ahmad Mua’adzam turut menyokong kenyataan Ketua Pemuda Umno Selangor, Zuraini Zainal yang mendakwa sayap-sayap parti itu bukan tidak menjalankan tugas demi merampas kembali Selangor dari tangan Pakatan Harapan sebaliknya tiada peruntukan diberikan untuk menganjurkan program.

“Saya kira ini sebagai ‘trigger’ kepada orang atas. Tengok-tengoklah kami, kalau perlu beri nasihat, nasihatlah. Kalau perlu beri bantuan, beri bantuan.

“Antara tanggungjawab yang utama sebagai pemimpin yang di atas bukan sahaja menuju kemenangan BN di masa hadapan tapi juga tanggungjawab untuk menyediakan pemimpin pelapis yang hebat. Bukan hanya tahu menuding jari sahaja.

“Kita perlu ada sesi ‘one to one’. Sama-sama bincang dan bergerak, barulah adil. Bagi saya, tidak perlu ada kegusaran bahawa pemimpin muda hari ini nak cepat naik ke hadapan. Tidak. Kuasa nak menaikkan pun mereka juga, jadi, apa mereka nak risau?,” katanya.

Beliau turut mendakwa telah mengeluarkan duit poket sendiri demi memastikan program sayap itu berjalan namun beliau mengakui tidak tahu sampai bila mampu bertahan dengan keadaan itu.

Sementara, Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Mohamad Fakhzan Md Noor berkata, peruntukan itu hanya satu isu, namun beliau melihat ada isu lebih besar yang tidak dititikberatkan oleh parti.

“Sejak 2008, sekarang ini sudah masuk penggal kedua, BN hilang kuasa di Selangor. Kita tak nampak ada apa-apa perancangan untuk merampas kembali Selangor. Kalau nak tawan sesebuah negeri kita mesti ada perancangan yang jelas. Kemudian, datanglah bajet. Maknanya kena ada perancangan itu.

“Perkara ini bersifat dalaman dan tidak perlu dibesarkan tapi apabila media tanya, kita kena jawablah. Sebelum kita bertindak kena ada laluan yang jelas kalau tidak, sukar. Macam menembak, kita kena tahu sasaran kita. Kalau tidak, kita main tembak sajalah,” katanya.

Tambahnya, “kita ada personaliti yang sama sejak 2008. Dalam pengurusan yang tertinggi, kita ada personaliti yang sama (juga) pada 2013."

"Kita kena tengok baliklah. Kalau kita nak menang tapi masih guna strategi yang sama, tanpa kita mengubah ‘mindset’ itu, kita tidak akan pergi ke mana-mana.”

Akui cabaran Pemuda Umno di Selangor dan Wilayah Persekutuan berbeza dengan kawasan-kawasan lain, Mohamad Fakhzan berkata, isu-isu nasional menjadi faktor utama yang mempengaruhi pengundi selain isu-isu setempat.

“Tapi kalau kita buat sebanyak mana program pun tapi isu nasional kita gagal jelaskan, tidak ke manalah. Kebanyakan kawasan kalau kita teliti ada banyak juga kawasan bersifat marginal yang kita menang majoriti 1,000...2,000 undi. Tapi apa strategi kita untuk tambah pengundi baharu?

“Untuk tujuan itu, kita perlukan dana dan perancangan. Kalau tak ada dua-dua itu, bagaimana kita nak tambah pengundi baharu? Pada saya yang menarik golongan muda ini adalah media sosial, polisi-polisi nasional. Untuk menang, kita kena ada ‘blueprint’,” katanya.


Tiada ulasan: