SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Abdul Shukur Idrus akui terkejut dengan dakwaan yang dibuat Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal bahawa pihaknya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri demi menjayakan program mereka.
Menurutnya dana bagi program-program sayap parti termasuk Pemuda Umno negeri sepatutnya disediakan Umno negeri.
“Apa yang didakwa oleh Zainuri itu saya sebenarnya terperanjat mendengarnya. Dulu pada zaman saya, memang apa sahaja program akan ditunjukkan kepada pengerusi dan pengerusi setuju, maka mereka akan cari dana untuk menyokong program itu.
“Yang lain saya tak boleh nak komenlah. Ini berdasarkan pengalaman saya ketika menjadi ketua pemuda dulu,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Selayang.
Sinar Online sebelum ini melaporkan Zainuri menegaskan sayap-sayap parti itu bukan tidak menjalankan tugas membantu Umno dan BN dalam usaha merampas kembali Selangor dari tangan Pakatan Harapan sebaliknya tiada peruntukan diberikan untuk menganjurkan program.
Dalam pada itu, Ahmad Shukur berharap permasalahan itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan usaha menyusun jentera parti untuk berdepan pilihan raya umum ke-14 nanti berjalan lancar.
“Saya juga harap perkara ini dapat diselesaikan supaya ia tidak menjadi perkara besar yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Umno,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan