Rabu, 9 Mac 2016

Pandangan Husam pendapat 'individu tidak berautoriti' - Khairuddin

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic


SHAH ALAM: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membidas kenyataan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang mencadangkan Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih kepimpinan daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang demi 'menyelamatkan' parti Islam itu.

Khairuddin berkata, cadangan bekas Naib Presiden PAS itu hanya pandangan peribadi yang tidak perlu diambil berat kerana ia datang daripada 'individu yang tidak berautoriti'.

Malah kata Ahli Parlimen Nerus itu juga menafikan dakwaan kononnya ahli PAS merasakan mereka tiada arah tujuan ekoran kenyataan sering berbeza yang dikeluarkan pemimpin tertinggi.

"Akar umbi kukuh dengan PAS yang ada hari ini.

"Pandangan Husam layak pergi tong sampah sahaja. Sesuai untuk diri dia," katanya kepada Antarapos, sebagai maklum balas kepada cadangan tersebut.

Terdahulu Husam mencadangkan Tuan Ibrahim mengambil alih kepimpinan PAS dalam usaha membawa parti itu ke pentas utama politik negara.

Menurut sebuah portal, Husam dilapor berkata, parti itu kini hanya menjadi 'kuasa ketiga' dalam landskap politik negara ekoran pemimpin utamanya sering mengeluarkan kenyataan 'berubah-ubah'.

Dilaporkan cadangan tersebut dibuat susulan hasil kajian yang dijalankan badan pemikir, Ilham Centre yang mendapati ahli PAS merasakan mereka tiada arah tujuan kerana kenyataan sering berbeza dikeluarkan pemimpin tertinggi.

Ia juga berikutan tiadanya perpaduan pada waktu kini memandangkan PAS tidak lagi menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Mengulas berhubung hal itu, Khairuddin menegaskan kajian tersebut tidak boleh dijadikan kayu ukur penentu sokongan ahli parti kepada Hadi.

"Hari ini media digunakan untuk mencipta persepsi. Jadi kita tak boleh pakai pandangan mereka itu. Kita kena berpandukan akar umbi. Kita tengok akar umbi, kita tahu kekuatan kita bagaimana," ujarnya.

Ini bukan kali pertama Husam mengkritik kepimpinan Hadi. Sebelum itu, beliau pernah mendedahkan kononnya Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Konspirasi tersebut ujar Husam, menjadi punca perpecahan di dalam PAS sehingga melahirkan kumpulan serpihan iaitu Parti Amanah Negara (PAN), yang dianggotai golongan yang tidak menyokong Hadi.

Tiada ulasan: