Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengadakan mesyuarat 'Pra-Majlis' sempena sesi Dewan Rakyat, di kediaman rasminya Seri Perdana,
Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek berkata mesyuarat itu adalah amalan biasa diadakan Barisan Nasional (BN) sebelum bermulanya sidang Parlimen.
Persidangan sesi Mesyuarat Pertama Parlimen bagi Penggal Keempat bermula Isnin ini.
Hasan berkata mesyuarat itu yang bermula kira-kira 8.30 malam, dihadiri hampir semua ahli Parlimen BN.
"Tiada yang luar biasa mengenainya ia diadakan setiap kali Dewan Rakyat mula bersidang.
"Perdana Menteri berjumpa dengan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara (Senator) tadi.
"Beliau (Najib) memberi taklimat berhubung senarai aturan soalan yang dikemukakan dan dijawab sepanjang sesi Parlimen, dan menteri hadir untuk menjawab pada sesi penggulungan," katanya.
Hasan bercakap kepada pemberita di perkarangan Kompleks Seri Perdana selepas mesyuarat satu jam setengah itu.
Katanya, pada mesyuarat itu, perdana menteri juga meminta semua ahli Parlimen BN melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Najib turut menekankan perlunya kehadiran ahli Parlimen pada sesi kali ini, kata Hasan.
"Amanat beliau ialah buat kerja dengan tekun dan ikhlas serta jaga kawasan masing-masing," katanya.
Ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan mengenai Deklarasi Rakyat yang ditandatangani semalam bagi memberi tekanan kepada Najib untuk meletak jawatan, Hasan berkata:
"Ia hanya mengenai 'pre-council' - persediaan sidang".
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen bagi Penggal Keempat itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan