KUALA LUMPUR: Data suara dan penerbangan pesawat CN235 Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM) sudah dimuat turun semalam dan kini dalam proses
dianalisis.
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Roslan Saad, berkata pihaknya
difahamkan proses muat turun data dari kotak hitam berkenaan sebelum ini
mengalami masalah susulan berlaku sedikit kerosakan pada komponen
terbabit.
"Bagaimanapun, data itu dapat dimuat turun semalam dan kita turut
menghantar dua orang jurutera TUDM untuk membantu proses menganalisis
data.
"Kita belum dapat memastikan bila keputusan analisis akan diperoleh dan
akan memaklumkannya sebaik diketahui," katanya pada sidang media di
sini, sebentar tadi.
Terdahulu, beliau mewakili Panglima Angkatan Tentera menghadiri Majlis
Penubuhan dan Penghantaran Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao 11
(TPA-M11) di Wisma Transit di sini.
Selasa lalu, kotak hitam pesawat CN235 itu dihantar kepada syarikat pengeluar pesawat terbabit iaitu OEM di Bandung, Indonesia.
Roslan berkata, usaha menaikkan pesawat CN235 yang kini masuk hari kelapan masih giat dijalankan.
Jumaat lalu, pesawat pengangkut jenis TUDM CN235 yang berpangkalan di
Pangkalan Udara Subang bersama enam kru itu membuat pendaratan kecemasan
berhampiran pantai Kuala Selangor pada kira-kira jam 8.50 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan