Jumaat, 25 Mac 2016

Mahkamah arah defendan, termasuk IGP bayar RM414k

MALAYSIAKINI




Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan defendan, termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membayar ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu.

"Hakim memutuskan bahawa plaintif (ibu dan kakak Aminulrasyid) berjaya membuktikan bahawa defendan bertanggungjawab terhadap kematian Aminulrasyid.

"Dalam erti kata lain, plaintif berjaya memenangi kes terhadap kerajaan berhubung tembakan polis yang membunuh Aminulrasyid enam tahun lalu," kata peguam N Surendran kepada pemberita selepas keputusan itu diumumkan oleh Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Ganti rugi RM414,800 termasuk RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan oleh Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM50,000.

Saman berkenaan difailkan pada 17 April 2013 oleh kakak remaja itu, Nor Azura, 46, atas kapasiti sebagai pentadbir harta Aminulrasyid, bersama ibunya, Norsiah Mohamad, 67, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua untuk menuntut ganti rugi atas alasan kecuaian Koperal Jenain Subi, 54, dan tiga yang lain. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam penghakimannya, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata pihak plaintif berjaya membuktikan bahawa Jenain merupakan anggota polis yang melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di Shah Alam pada pagi 26 April 2010.

"Kita sedia maklum bahawa memang anggota polis diberi kuasa untuk ambil tindakan cegah jenayah dan sebab itu mereka dibekalkan dengan senjata. Kita tidak mempertikai perkara itu tetapi semua kuasa ada hadnya, bagaimana ia (senjata) digunakan.

"Jadi dalam kes ini, tindakan polis adalah terikat dengan IGPSO (Perintah Tetap Ketua Polis Negara) dalam keadaan manakah mereka dibenarkan untuk lepaskan tembakan.

"Dalam keterangannya, defendan pertama (Jenain) memberitahu tujuan beliau lepaskan tembakan adalah untuk berhentikan kereta BET 5023 (yang dinaiki Aminulrasyid) kerana cara pemanduan yang berbahaya. Dalam kes ini adakah semasa di Jalan Tarian mewajarkan defendan pertama untuk tembak?

"Dalam keadaan jalan yang lengang antara 1 dan 2 pagi, di kawasan perumahan, dalam keadaan Aminulrasyid cuba lari dari polis dan tiada tembakan balas. Dalam keadaan ini, saya berpendapat defendan pertama bertindak berlebihan, cuai dan melulu serta melanggar IGPSO apabila melepaskan tembakan," katanya.

Mengenai tuntutan terhadap defendan ketiga (Khalid), Ahmad Zaidi berkata pihak plaintif telah memanggil wartawan yang melaporkan sidang akhbar oleh defendan ketiga untuk memberi keterangan dan pihak plaintif juga telah memberi notis kepada Khalid, namun pihak defendan memilih untuk tidak memanggil bekas Ketua Polis Selangor itu memberi keterangan.

Menurutnya dalam keadaan itu, beliau mendapati keterangan wartawan berhubung sidang akhbar berkenaan juga dapat dibuktikan.

"Mahkamah dapati plaintif berjaya buktikan tindakan defendan ketiga dalam memberikan sidang akhbar adalah bertujuan untuk cuba menutup kesalahan dilakukan oleh defendan pertama. Defendan ketiga cuba cakap bahawa anggotanya mempunyai alasan kuat untuk menembak Aminulrasyid sebab dia seorang yang dikaitkan dengan jenayah berikutan penemuan parang dalam kereta dinaiki Aminulrasyid.

"Bagaimanapun, tidak dibuktikan bagaimana parang itu ada, apa tujuan dikatakan ada senjata, kalau ia (parang) tiada? Justeru, plaintif telah buktikan wujudnya salah laku kepada masyarakat umum," katanya.

Keluarga Aminulrasyid diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya manakala peguam Zulkifly Omar mewakili Jenain dan Peguam Persekutuan Norhasmanita Abdul Manap mewakili defendan-defendan lain.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja berumur 15 tahun itu dengan tujuan menghentikannya.

Sementara itu, Norsiah yang ditemani Nor Azura ketika ditemui pemberita berkata keputusan mahkamah hari ini telah membersihkan nama Aminulrasyid sepenuhnya.

"Nama anak saya telah dibersihkan... tiada lagi cacian, umpat dan keji. Saya bersyukur doa saya dimakbulkan Allah," katanya sebak.

Tiada ulasan: