Rabu, 9 Mac 2016

Kerajaan Perak perlu jelaskan kehilangan wang mangsa banjir - Pemuda Amanah

Mohd Fitri AsmuniMohd Fitri Asmuni
Pemuda Amanah Negeri Perak mendesak kerajaan negeri menjelaskan mengenai kehilangan wang bantuan mangsa banjir berjumlah RM40,000 daripada simpanan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) pada September 2015 di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang dijadualkan berlangsung April ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak Mohd Fitri Asmuni berkata, langkah ini perlu memandangkan kehilangan wang itu membabitkan dana awam yang disumbangkan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, apatah lagi kejadian tersebut juga sudah berlaku lebih daripada lima bulan tanpa sebarang penjelasan.

"Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBUDR perlu berani tampil menjelaskan perkara tersebut kepada seluruh ahli dewan mengenai punca dan bagaimana wang tersebut boleh hilang dan mencadangkan agar satu jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan wang tersebut," katanya.

Menurutnya, bagi menjamin siasatan berjalan secara telus, Pemuda Amanah Perak juga mendesak Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ismail Saffian digantung tugas sehingga siasatan tersebut selesai sepenuhnya.

Kejadian kehilangan wang tersebut, katanya sudah berlaku lebih daripada lima bulan tetapi sehingga kini tiada sebarang penemuan dibuat.

"Oleh kerana ia membabitkan dana awam, maka penjelasan mengenainya kepada ahli dewan adalah amat wajar," ujar beliau.

Tiada ulasan: