Jumaat, 4 Mac 2016

Boleh gua berkenalan dengan putera Arab itu?



Oleh Hishamuddin Rais

Kisah duit derma tok arab sebanyak 2.6 bilion ringgit ini tak habis-habis lagi. Bersambung-sambung. Meleret-leret. Bermula dengan berita seorang putera Arab yang baik hati telah memberi derma kepada Mat Najib. Ini cerita awal sesudah akhbar jahat Wall Street Journal membocorkan berita mendakwa duit sebanyak 2.6 bilion ringgit telah masuk ke akaun peribadi Najib.

Duit derma dari putera Arab beralih kisah, tiba-tiba beralih menjadi duit derma dari raja Arab pula. Gua tak ambil pot, dari putera raja ke atau dari maharaja. Yang gua fikirkan bolehkan gua berkenalan dengan putera Arab itu? Itu saja dalam kepala gua. Saja nak berkenalan. Mana tahu ada rezeki tersepak.

Kisah punya kisah rupa-rupa tok raja arab didapati sudah mati awal. Jadi mustahil hantu raja ini menderma kepada Najib. Malah gua rasa tak ada hantu yang berani rapat dengan Najib kerana kuasa guru Ji lebih kuat. Hantu jembalang pun takut, inikan pula manusia biasa.
 
Cerita duit dari raja ini beralih lagi. Ada dilaporkan datang dari beberapa tok Arab pula. Tup tup seorang putera tok Arab bangan marah. Putera Arab ini menafikan duit ini tidak datang dari dirinya. Heboh sekali lagi. Gua tak ambil pot.

Cerita asal usul duit derma ini kerap beralih-alih. Akhirnya diumumkan bahawa duit derma 2.6 bilion ringgit ini datang dari kerajaan Arab pula. Semua akur. Alhamdulilah.

Putera Arab ke, raja Arab ke, kerajaan Arab ke? Untuk gua semua tak penting. Yang penting derma ini datang dari Arab. Arab ini satu bangsa yang beragama Islam. Tok Arab tak makan babi. Tok Arab hanya makan ayam bersembelih, kecuali ayam Siam di Bangkok atau ayam China di Pudu.

Tapi ini kisah lain. Jadi pada hemat gua bila duit derma datang dari tok Arab pasti duit suci dan halal. Duit kosher, dalam bahasa Hebrew.

Gua ingat semua dah selesai. Semua beres apabila tok Arab yang baik hati buka cerita tentang duit derma bertimbun-timbun itu adalah hadiah, derma ikhlas kerana Najib ini budak baik.

Tok Arab itu berkata Mat Najib ini pengembang mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Mat Najib tidak ada sangkut paut dengan 'sunnni wal rasuah'. Mat Najib bukan penyokong Isis. Mat Najib adalah pemimpin Islam contoh. Budak kelahiran Pekan anak Razak bin Hussein ini memang budak baik, jujur, ikhlas dan berjurus. Syukur alhamdulillah.

Tiba-tiba budak baik ini membuat satu kenyataan. Mat Najib anak lelaki Razak telah mengumumkan kepada dunia bahawa duit derma 2.6 bilion ringgit itu telah dipulangkan kembali kepada tok Arab. Puh!
Aduh! Bila gua dengar berita ini gua hampir pengsan. Gua rasa kalau Najib ada di depan gua ketika itu pasti gua sekeh kepalanya. Gua tahu Najib ini budak baik. Tapi kenapa baik sangat hingga pulangkan kembali duit yang banyak ini. Cit, gua ketawa sampai terkencing.

Tapi gua mesti labon jujur. Kisah Mat Najib pulangkan kembali duit derma tok Arab betul-betul buat gua tak puas hati. Hingga sekarang gua terus bertanya: Why Datuk, why Datuk, Why pulangkan duit itu Datuk? Why, why?

Nasib baik gua tak pakai kasut tinggi tumit. Kalau tidak kasut gua patah macam kasut Rafidah Aziz ketika terperanjat mendengar Mahathir hendak letak jawatan pada 22 Jun 2002 dulu. Cit, gua ketawa sampai terkencing.

Bayangkan duit sebanyak 2.6 bilion ringgit ini kalau semua duit ini ditukar untuk menjadi keping 100 ringgit pasti boleh dijadikan payung untuk memayungi seluruh Kuala Lumpur. Bila hujan sampai kita semua boleh berpayung. Kalau keping 50 ringgit pasti boleh memayungi Selangor. Kalau keping 10 ringgit boleh memayungi Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Bayangkan. Bayangkan.

Kalau semua duit ini ditukar jadi keping satu ringgit ia boleh dijadikan jambatan dari Pontian ke Pekan Baru, Sumatera. Itu pasal gua jadi marah apabila gua dengar Mat Najib pulangkan kembali duit derma tok Arab ini.

Gua rasa apabila tok Arab itu sudah beri derma maka semua rakyat akan tutup buku. Kisah sudah jelas. Tok Arab hadiahkan 2.6 bilion pada budak baik. Ini bukan satu yang menghairankan. Semua ahli United Malays National Organisation percaya cerita ini.

Yang tak percaya cerita ini hanyalah penyokong Anwar Ibrahim, penyokong Mat Sabu, penyokong Tian Chua, penyokong Mahfuz Omar dan juga penyokong Mukhriz Mahathir.

Ini pun kerana tim Bola Kedah hilang penaja bila Mukhriz tidak jadi MB Kedah lagi. Kalau tidak Mukriz dan penyokongnya semua percaya dengan Najib.

Untuk gua kita tak perlu heboh heboh. Duit itu pemberian ikhlas, sedekah jariah dunia akhirat. Khalas bak kata orang Arab. Khatam kogiya bak kata Orang Pakistan. 'Masyuk' bak kata orang Melayu. Semua ngam bak kata tauke China Doll di Pasar Pudu.

Tapi biar gua royak dengan jujur. Sebenar-benarnya hati gua jadi geram. Dalam geram-geram ini tiba-tiba muncul wajah muka Haji Hadi Awang. Gwa bertambah naik marah. Jangan silap faham. Jangan salah tafsir. Gua marah pada Haji Hadi bukan kerana dia tidak suka Anwar jadi perdana menteri.

Gua marah Haji Hadi bukan kerana dia tak sokong Dr Wan Azizah jadi menteri besar Selangor. Bukan. Bukan. Bukan.

Gua marah dengan Haji Hadi kerana Haji Hadi ialah penasihat Mat Najib. Ini bukan fitnah gua. Semua rakyat Malaysia tahu bahawa Hadi Awang telah melantik dirinya menjadi penasihat kepada Mat Najib anak lelaki Razak.

Hadi telah umumkan perkara ini akhir tahun lalu. Ada laporan muka depan akhbar Harakah tentang perkara ini. Pada 1 November 2015 portal ada melaporkan berita yang sama. Hakikatnya gua bukan bikin tohmah.

Secara terbuka Hadi mengumumkan yang dia tak berminat nak merampas kuasa. Tak berminat untuk ke Putrajaya. Parlimen, kuasa dan Putrajaya bukan perjuangan parti PAS. Tuan Haji Hadi Awang hanya mahu menjadi penasihat Mat Najib. Khalas.

Mengikut 'fulussafah' terbaru Tuan Haji Hadi Awang, parti Pas hari ini hanya anti United Malays National Organisation tapi tidak anti ahli parti Ketuanan Melayu. Apa maknanya ini gua sendiri pun tak faham.

Beberapa ekor ahli PAS yang gua kenal tertojeng-tojeng ke hulu ke hilir. Mereka tertanya-tanya apa makna ini. Jawapan gua hanya: walah hu alam bisawab ya akhi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Gua naik bengang dengan Haji Hadi ini kerana sebagai penasihat peranan dia amat amat besar.

Menasihatkan Najib satu tugas negara. Maka gua bertanya, kenapa Haji Hadi tidak nasihatkan Mat Najib betul-betul. Kenapa Haji Hadi buat kerja sampai lewa sehinggakan Mat Najib melakukan perkara yang amat amat bodoh lagi tidak senonoh.

Memulangkan duit hadiah Tok Arab ini adalah kerja bodoh. Kerja bodoh ini terlalu amat bangang hinggakan satu Malaysia ketawa. Sebenarnya amat ramai sekali orang mentertawakan Mat Najib. Kira punya kira gua rasa seramai 36.5 juta orang sedang ketawa hingga terkencing bila mendengar berita Mat Najib memulangkan kembali duit derma Tok Arab.

Mana gua dapat jumlah 36.5 juta ini?

Jawabnya senang sahaja. Tiga puluh juta rakyat Malaysia campur dua juta pekerja dari luar negara campur tiga juta pendatang haram campur 1.5 juta Mat Bangla yang akan datang - jumlah 36.5 juta.

Inilah jumlah orang yang tidak percaya Mat Najib telah memulangkan duit itu. Kerana ini gua salahkan penasihat Mat Najib. Gua salahkan Tuan Haji Hadi Awang. Pasal apa Tuan Haji Hadi tidak beri nasihat yang baik kepada Najib?

Gua difahamkan kini penasihat Mat Najib yang unggul ulung dan tunggul hanyalah Tuan Haji Hadi Awang. Justeru akhir-akhir ini kita semua melihat bahawa ucapan Najib ada terselit beberapa perkataan Arab, Urdu dan Parsi.

Tidak boleh dinafikan keupayaan fikrah Tuan Haji Hadi ini. Cekap, malah lebih cekap dari fikrah sotong.
Gua ada bukti tentang kecekapan fikrah Hadi ini. Gua diberitahu pada ketika ini Hadi Awang sedang memasang strategi untuk memperkukuh kedudukan Najib. Najib sedang diserang dari pelbagai penjuru.

Berita telah terbongkar bagaimana pada 27 Mac ini ada perhimpunan anti-Najib sedang disusun. Dengan cekap lagi pantas seperti mencandat sotong Tuan Haji Hadi telah mengumumkan yang dia menolak rancangan perhimpunan ini.

Memang hebat pemikiran Haji Hadi Awang ini. Dengan satu kenyataan dia telah menyelamatkan Najib. Perhimpunan 27 Mac telah disabotaj oleh Haji Hadi. Kerana itu gua marah. Kerana itu gua tak puas hati kenapa Haji Hadi tidak nasihatkan Najib agar jangan pulangkan duit derma sebanyak 2.6 bilion ringgit itu.
Bayangkan kalau 0.0001 peratus dari duit derma itu dapat oleh gua, gua akan ketawa terkencing menuju ke bank.~Mkini


Tiada ulasan: