Jumaat, 4 Mac 2016

Gerakan Reformasi akhirnya berjaya 'menawan' Mahathir?

 Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Tanyalah mana-mana veteran atau otai reformasi betapa meluapnya semangat dan kebencian mereka terhadap tindakan-tindakan "keras dan kejam" Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap tuntutan mereka membebaskan Anwar Ibrahim.
 
Bagi mereka Anwar adalah lambang demokrasi dan ikon harapan masa depan negara. Anwar adalah pejuang menentang kebobrokan yang mula menggunung dalam rejim Dr Mahathir. 
 
Walaupun Dr Mahathir cuba menggambarkan Anwar terpalit dengan aktiviti tidak bermoral, gerakan reformasi tidak juga surut. Ini berkat kekentalan semangat reformis.
 
Justeru apabila Mahathir cuba menguji popularitinya selepas lahirnya gerakan reformasi dalam pilihanraya umum 1999, beliau terpaksa akur betapa rakyat Melayu khususnya sudah menjauhi Umno dan BN. 
 
Umno hilang kuasa di Kelantan, Terengganu dan nyaris Kedah. 
 
Ringkasnya, yang mencetuskan gerakan menuntut reformasi di Malaysia pada penghujung abad kedua puluh ialah Mahathir sendiri. Sebagai perdana menteri, tindak tanduknya menjengkelkan banyak pihak. 
 
Faktor utama yang menguja rakyat keluar beramai-ramai menuntut pemugaran sistem kehidupan dan perundangan di Malaysia ialah apabila Mahathir bertindak membunuh kerjaya timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
 
Pertentangan hakiki di antara kedua pemimpin itu ialah soal ekonomi yang amat mendesak ketika itu. Mahathir menyalahkan saudagar matawang, George Soros memanipulasi nilai matawang negara-negara rantau ini.
 
Bagaimanapun beban kesalahan yang sebenar ditimpakan ke atas Anwar Ibrahim yang mempunyai pendekatan yang agak berbeza dengan beliau untuk memandu Malaysia membebaskan diri daripada kesuraman ekonomi ketika itu. 
 
Tuduhan terhadap Anwar bangkitkan semangat reformasi 
 
Namun Anwar perlu membayar hutang perbedaan pendapat dengan bosnya itu apabila dituduh sebagai mempunyai agenda untuk "merampas tampuk pemerintahan Malaysia daripada Mahathir". 
 
Ramai kawan Anwar yang diragut kebebasan mereka. Ada yang ditahan di bawah pelbagai kesalahan. Sekonyong-konyong mereka diburu dan ditahan untuk "disejukkan sedikit semangat reformasi mereka".
 
Ramai penyokong Anwar yang hilang pekerjaan dan perniagaan mereka diganggu-gugat. Namun asakan sedemikian tidak melemahkan semangat reformasi. 
 
Maka meluaplah amarah rakyat. Reformasi tiba-tiba menjadi istilah keramat dalam penentangan terhadap Mahathir yang menggunakan semua cabang dan ranting kuasa sebagai perdana menteri untuk memadamkan api reformasi itu. 
 
Simpati rakyat pada nasib Anwar terbawa-bawa keluar negara. Ramai umat Melayu yang mengerjakan umrah atau haji membawa pulang cerita betapa orang Islam lain sudah maklum betapa zalimnya Mahathir terhadap Anwar. 
 
PKR muncul sebagai usaha jatuhkan Mahathir 
 
Lantaran iltizam, istiqamah dan kepintaran penggerak reformasi, Mahathir 'panas punggung' dan mulai gentar menghadapi pilihanraya umum ke-11.
 
Serentak itu lahir kesedaran untuk menubuhkan wadah politik baru bagi menjunjung gerakan reformasi dan lahirlah Parti Keadilan Nasional yang kemudian mekar menjadi Parti Keadilan Rakyat. 
 
Sasaran utama gerakan rakyat itu ialah untuk menumpaskan Mahathir dan partinya, Umno-BN. Secara langsung landskap politik negara mula berubah.
 
Bila dunia terasa semakin sempit baginya pada 2003, Mahathir menyerahkan tampuk pemerintahan negara dan parti kepada Tun Abdullah Badawi yang mendapat jolokan "Mr Clean". 
 
Khabar persaraan Mahathir dari senario politik negara disambut dengan mesra oleh rakyat yang memberikan BN dan Umno kemenangan terbesar dalam sejarah politik Malaysia pada pilihanraya umum 2004. 
 
Malangnya, prestasi cemerlang ini tidak menyeronokkan Mahathir yang berasa legasi pemerintahannya selama lebih 22 tahun, terancam. Kelemahan Pak Lah dihamburkan dan dikritik di tengah-tengah masyarakat. 
 
Mahathir giat berusaha menjatuhkan Pak Lah hingga beliau berlakon merajuk dan keluar Umno. Kini Mahathir mengulangi tabiat yang sama dengan berhenti menjadi ahli Umno untuk menumbangkan Datuk Seri Najib pula. 
 
Mahathir dulu ditentang kini ditatang
 
Namun yang lebih menggusarkan ialah sikap pemimpin parti yang lahir daripada gerakan reformasi. Tiba-tiba mereka menjadi pelupa dan pemaaf. Asal usul perjuangan politik mereka ialah menentang Mahathir tetapi kini mereka menatang Mahathir. 
 
Ke mana pergi semangat reformasi mereka? Adakah kini mereka mahu menyempurnakan perjuangan dengan mengambil Mahathir pula sebagai rakan seperjuangan? 
 
Baru 18 tahun berjuang, gerakan reformasi Malaysia sudah beralih arah daripada menghapuskan pemerintahan kuku besi dan anti demokrasi yang diamalkan Mahathir dan mengangkat beliau personaliti sebagai rakan.
 
Adakah Mahathir sudah berubah dan bertaubat sehingga gerakan reformasi yakin bahawa perjuangan mereka sudah sempurna? Adakah ini cara membalasi budi dan pengorbanan reformis tulen yang menderita dek kezaliman Mahathir?
 
Memang benar dalam politik tiada permusuhan atau kerabat yang abadi. Mahathir yang dahulu musuh kini sudah menjadi kawan. 
 
Namun Anwar masih dalam kurungan. Jika begini keadaannya, tentu ia memberi isyarat bahawa Anwar sudah memberi restunya untuk bekerjasama dengan Mahathir.
 
Yang membimbangkan ialah, tidakkah kini terserlah bahawa hakikat sebenar perjuangan pemimpin-pemimpin reformasi ialah mahu berkuasa sahaja. Soal dosa Mahathir boleh dilupakan begitu sahaja.
 
Ada reformis yang kehilangan kebebasan, pekerjaan, perniagaan dan juga rumahtangga kerana reformasi, masih merawat luka perjuangan. Namun kini PKR sudah menerima Mahathir sebagai rakan. 
 
Dan, mungkin juga sebagai Ketua Umum perjuangan. Selamat datang Tun Dr Mahathir Mohamad, juara reformasi rakyat. 
 
Maka, untuk apakah reformis bersusah payah sebelum ini?
 
 

Tiada ulasan: