PETALING JAYA: Walaupun cadangan untuk melakukan semakan harga bahan
api secara mingguan boleh memberi manfaat kepada sesetengah orang, namun
ada dikalangan pengguna yang lebih suka jika ia dilaksanakan setiap
bulan.
Menurut mereka langkah semakan secara bulanan yang dilakukan pada masa ini boleh melancarkan proses perancangan setiap bulan.
Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Michael Kang
berkata jika cadangan untuk menetapkan harga bahan api secara mingguan
dilaksanakan, perniagaan tertentu perlu menyemak semula unjuran bajet
mereka lebih kerap.
"IKS perlu mula memantau harga minyak global untuk melakukan ramalan
bajet mereka jika kos bahan api adalah salah satu komponen utama dalam
kos operasi," kata Kang.
Beliau berkata idea itu bersifat serampang dua mata kerana ia boleh
menyenangkan IKS sekiranya harga minyak stabil atau terus kekal rendah
namun ia akan memberi kesan buruk kepada mereka jika harga minyak
meningkat.
"Ia baik jika harga minyak terus menurun, tetapi tidak baik jika harga minyak meningkat secara tiba-tiba," katanya.
Baru-baru ini Persatuan Pengusaha Stesen Minyak mencadangkan supaya
kerajaan melakukan semakan mingguan terhadap harga bahan api berbanding
secara bulanan pada masa ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji idea berkenaan.
Sementara itu Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan
Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Low Kian Chuan berkata, melainkan
harga minyak meningkat secara mendadak, tindakan menyemak semula harga
petrol secara mingguan tidak akan memberi kesan ke atas perniagaan.
"Perniagaan tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri kepadanya, mereka
tahu bagaimana untuk melakukan ramalan," kata Low, sambil menambah
bahawa selain daripada industri pembuatan, kebanyakan perniagaan tidak
menggunakan petrol meluas.
"Selain itu industri pembuatan sudah membeli minyak pada kadar pasaran, harga adalah berbeza setiap hari," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan