Sabtu, 2 Januari 2016

AHMAD MASLAN LEBIH CERDIK DARIPADA NAJIB ATAU NAJIB LEBIH TERUK DARIPADA AHMAD MASLAN?

shahbudindotcom


 
 
Hampir tidak ada yang tidak mengkritik cara 1MDB melangsaikan hutang-hutangnya. Menjual sebahagian besar atau mungkin semua harta-hartanya semata-mata untuk membayar hutang, terutama kepada pihak asing, membuatkan Najib Razak yang menubuhkan 1MDB, menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya dan berbangga dengan kaedah "jual harta mak bapak" itu, menjadi sasaran utama kritikan ramai. 
 
Pelan rasionalisasi hutang dengan menjual 60 peratus Bandar Malaysia yang diumumkan 31 Disember lalu dan keseluruhan Edra Energy sebelum ini sebagai memenuhi janji Najib untuk menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan, akhirnya langsung tidak menimbulkan kebanggaan atau "stim" kepada sesiapa pun.

Hakikatnya, kaedah sebegitu tidaklah bernilai apa-apa kepada orangramai, malah tidak ubah seperti meniru cara yang biasa dilakukan oleh seseorang yang kalah judi untuk membayar hutang-hutang perjudiannya.

Bagi bekas Ahli Parlmen UMNO, Tamrin Tun Ghafar, cara penyelesaian hutang dengan cara menjual harta-harta seperti yang dilakukan Najib itu hanya memalukan nama Tun Razak dan Tun Rahah semata-mata.

Katanya, Najib hanya pandai berpura-pura seolah-olah langkah penyelesaiannya itu merupakan suatu kejayaan, sedangkan ia tidak mampu menutup pemborosan, kehilangan wang dan pembaziran berterusan yang dilakukannya selama ini.

Penjualan harta dan tanah yang sepatutnya kekal menjadi milik negara  itu, tambahnya, hanya mengesahkan tabiat Najib yang suka menjual apa saja yang ada untuk menutup beban atau hutang yang tidak ketahuan ke mana perginya.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan pula berkata, cara yang dilakukan Najib itu boleh dilakukan oleh sesiapa saja, termasuk murid-murid sekolah Tingkatan Enam sekali pun.

Bahkan, katanya, ia juga tidak menjawab banyak persoalan lain seperti ke mana hilangnya pelaburan di Pulau Cayman, wang di BSI Bank Singapura, pinjaman daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen sebanyak RM4 bilion, faedah tinggi diberi kepada Goldman Sachs dan lain-lain lagi.

Bekas ahli Wanita UMNO Langkawi yang pernah menyaman Najib, Anina Saaduddin turut mengkritik dengan mengatakan kaedah menjual segala harta untuk membayar hutang itu menjadikan Ahmad Maslan pun layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Anina juga mengandaikan, berikutan pendekatan Najib yang disifatkannya gagal itu, barangkali menjadikan Ahmad Maslan yang kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antaragangsa dan Industri, lebih berjaya menguruskan negara berbanding Najib.

Hahaha...walaupun Najib mungkin sedih disamakan dengan Ahmad Maslan, tetapi Ahmad Maslan tentunya bangga apabila dikatakan turut layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Cumanya, membandingkan Najib dengan Ahmad Maslan akan membawa kepada persoalan lain pula - apakah ini bermakna Ahmad Maslan lebih cerdik daripada Najib, Najib sebenarnya lebih teruk daripada Ahmad Maslan atau kedua-duanya tak boleh pakai?

Boleh mana-mana cai Najib tolong jawab persoalan ini? 


Tiada ulasan: