Jumaat, 1 Januari 2016

Reka cerita 'diculik' kerana mahu bersama teman lelaki

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani 
 
Reka cerita 'diculik' kerana mahu bersama teman lelaki
Ia adalah rekaan cerita remaja perempuan tersebut semata-mata tidak mahu pulang ke rumah keluarganya dan ingin bersama teman lelakinya. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tidak berlaku sebarang kejadian culik ke atas remaja perempuan berusia 14 tahun yang kononnya diculik dari kediamannya di Bandar Sultan Suleiman, Klang, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat turut mengesahkan rakaman perbualan telefon antara remaja perempuan tersebut dan kakak angkatnya yang viral di media sosial kononnya diculik oleh dua lelaki dan dilarikan dengan sebuah van putih adalah tidak benar.

"Sepanjang tempoh 'kehilangannya' remaja perempuan tersebut selamat menumpang di rumah kawan kepada teman lelakinya di Banting, atas kerelaan remaja perempuan itu sendiri.

"Pihak polis juga ingin mendedahkan bahawa rakaman perbualan telefon antara remaja perempuan tersebut dan kakak angkatnya yang telah menjadi viral dalam media sosial yang memberi gambaran remaja perempuan tersebut telah diculik oleh dua lelaki dan dilarikan dengan sebuah van putih, adalah palsu.

"Ianya adalah rekaan cerita remaja perempuan tersebut semata-mata kerana beliau tidak mahu pulang ke rumah keluarganya dan ingin bersama teman lelakinya," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Justeru, kata Abdul Samah, seorang pemuda berusia 19 tahun yang ditemui bersama remaja perempuan tersebut semalam ditahan.

Turut ditahan ialah seorang lagi lelaki berumur 45 tahun dipercayai rakan kepada pemuda tersebut yang telah menumpangkan remaja perempuan itu tinggal dirumahnya sepanjang tempoh 'kehilanganya'.

"Kedua-dua mereka ditahan dan akan direman selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik atau melarikan remaja perempuan yang berumur kurang daripada 16 tahun, tanpa persetujuan atau keizinan penjaganya yang sah," katanya.

Sementara itu, remaja tersebut yang dikategorikan sebagai kanak-kanak bawah umur telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, Abdul Samah menegaskan pihak polis juga menjalankan siasatan terhadap remaja perempuan tersebut atas kesalahan memberikan maklumat palsu mengenai kejadian yang berlaku keatasnya.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitternya pada Ahad mengesahkan remaja perempuan itu ditemui selamat.

Remaja perempuan itu ditemui sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi menjejakinya di depan stesen minyak di Banting bersama seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai teman lelakinya.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa disedari hilang selepas ibunya pulang ke rumah kira-kira 2 petang dan mendapati remaja itu tidak berada di rumah.
Ibu mangsa yang berusia 33 tahun cuba mencarinya di beberapa kawasan berhampiran serta menghubungi anaknya namun gagal sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman Isnin lalu.

Insiden kehilangan remaja itu mula menjadi viral selepas mangsa menghubungi kakak angkatnya memaklumkan dia diculik di kawasan rumahnya.

Perbualan antara mangsa bersama kakak angkatnya yang berdurasi 3 minit 43 saat itu tersebar secara meluas di media sosial.

Dalam perbualan tersebut, mangsa mendakwa ternampak papan tanda menuju ke Johor Bahru dari dalam kenderaan yang dinaikinya. 

Tiada ulasan: