SHAH ALAM: ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar hari ini
berkata isyarat supaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
agar mengundurkan diri mula diberikan sejak November lalu.
Beliau berkata, Mukhriz sudah sedia maklum akan isyarat itu namun masih tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keadaan.
"Isyarat ini (untuk Datuk Seri Mukhriz undur) sudah lama, dia pun patut
faham. Isyarat telah disampaikan tapi dia telah abaikan isyarat jadi
kini dia hadapi masalah berkenaan," katanya kepada Antarapos.
Ahmad Zaini berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen
Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pengumuman Umno Kedah yang
dibuat semalam mempunyai konsensus semua ADUN dan ahli Parlimen Umno
negeri berkenaan.
"Keputusan ini dicapai oleh pucuk pimpinan (Umno), apa keputusan yang dibuat kami ikut.
"Saya tidak tahu agenda di sebaliknya tapi perkara ini telah dibuat dan
mungkin ada perancangan yang dibuat sebelum ini yang kita (ADUN) tidak
tahu," jelas Ahmad Zaini.
Semalam Timbalan Pengerusi Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah
Ahmad Shah mengadakan satu sidang media di Alor Star mendakwa seluruh
kepemimpinan negeri kini hilang kepercayaan kepada Mukhriz ekoran
beberapa kelemahan serta ketidakupayaan beliau memimpin parti dan
mentadbir negeri ini.
Selain itu, Umno Kedah turut merayu kepada Presiden Umno, Datuk Seri
Najib Razak untuk membuat perubahan segera kepada kepimpinan negeri.
Sidang akhbar berkenaan yang diadakan kira-kira pukul 3.30 petang Rabu
itu dihadiri 14 daripada 15 pemimpin Umno bahagian negeri berkenaan.
Turut serta dalam sidang akhbar yang berlangsung 15 minit itu, Menteri
di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri
Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Pertahanan selaku Ahli Parlimen
Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom dan Ahli Parlimen Baling, Datuk
Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Difahamkan, Mukhriz menjalankan tugas selaku Menteri Besar Kedah
seperti biasa dengan menghadiri Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang dan
Pingat-Pingat Kebesaran sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan
Sultan Kedah Ke-88 di Istana Anak Bukit hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan