SHAH ALAM: Menerima tajaan bernilai RM16 juta, pasukan Pamoga Qu Puteh
The Red Warriors (PQP TRW) seharusnya menonjolkan prestasi yang
membanggakan berbanding sebelum ini.
Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim (Pakatan Darulnaim)
bagaimanapun optimis dalam soal menang atau kalah dalam sebarang
persaingan sukan itu kerana bergantung kepada nasib.
Hal itu dinyatakan oleh Naib Presidennya, Roslan Mohamed dengan
menambah apa yang lebih penting adalah kemahiran yang ada di setiap
pemain pasukan itu.
"Saya yakin Tan Sri Annuar Musa dan jawatankuasanya arif. Jika Kelantan
masih gagal mempertahankan kejuaraan, kita tak boleh salahkan pemain.
Hendak jadi juara senang, tapi untuk mengekalkan sebagai juara ia
perkara yang amat ditakuti oleh banyak pasukan bola sepak.
"Yang menentukan keadaan adalah pada waktu itu. Saya yakin seluruh
rakyat Kelantan tidak beremosi untuk menghadapi kekalahan akan datang,"
katanya ketika ditemui Antarapos, baru-baru ini.
Roslan mengulas 'tanggungjawab' yang akan digalas pasukan Kelantan
sebagai menghargai penajaan yang diterima menerusi Vida Beauty baru-baru
ini.
Pasukan berkenaan menerima tajaan berjumlah RM8 juta semusim selepas ia
berdepan dengan krisis kewangan yang amat teruk pada musim lalu.
Ketua Eksekutif Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata
keputusannya untuk menaja kerana mahu membangunkan pasukan bola sepak
Kelantan, dan dalam masa sama mewujudkan situasi menang-menang terhadap
perniagaan produk kosmetik dan kecantikannya.
Selain menukar nama pasukan Kelantan kepada Pamoga Qu Puteh The Red
Warriors (PQP TRW), Hasmiza, atau dikenali juga sebagai Datuk Vida juga
meletakkan beberapa syarat lain seperti menukar warna jersi pasukan dan
cat Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu kepada warna merah jambu
sebagai syarat penajaan berkenaan.
Perkembangan ini dilihat sesetengah pihak sebagai akan menjadikan
pemain-pemain pasukan berkenaan sebagai mangsa eksploitasi pemasaran
syarikat tersebut.
"Apabila menaja sesuatu, isu jadi mangsa tidak timbul kerana pihak
penaja ada objektifnya yang mahu dicapai. Pihak penerima penajaan juga
ada perkara yang perlu dilaksanakan.
"Pada saya konsep penawaran dan penerimaan ini kita tak boleh tutup
mulut orang. Yang penting dua pihak ini fokus apa yang dilakukan," ujar
Roslan sebagai mengulas hal itu.
Dalam pada itu, Roslan yang mewakili Pakatan Darulnaim juga menyifatkan
penajaan Vida sebagai satu rahmat dalam menyelamatkan pasukan bola
sepak negeri itu, apatah lagi dengan pelbagai kejayaan wanita berkenaan
dalam bidang perniagaan.
"Beliau seorang wanita yang patut dicontohi kerana berani. Seorang
usahawan wanita yang hebat akan melakukan sesuatu perkara dengan
berfikir berdasarkan kajian dan berguru dengan otai-otai pemasaran.
"Tidak semua orang mempunyai bakat sebegitu. Dan itulah pakej yang
beliau ada. Kita mahu langkah beliau dijejaki oleh usahawan yang lain,
belajar bagaimana membuat halatuju dan susur galur yang telah dilakukan
demi masa depan negara walau dalam pelbagai sektor," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan