Oleh: Fiza Halim
KUALA LUMPUR - Keputusan mahkamah membebaskan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail atas tuduhan pecah amanah mengesahkan skandal itu turut melibatkan keseluruhan kepimpinan Umno.
Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, beliau percaya suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil itu mengemukakan bukti bahawa dana syarikat itu diluluskan mengikut prosedur dan peraturan syarikat, termasuk pembelian dua unit kondominum mewah di Kuala Lumpur.
“Saya tidak terkejut dengan keputusan ini dan sudah agak dari awal lagi, atas sebab pembelian kondo tersebut diluluskan maka ia menjadi bukan pecah amanah,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Rafizi berkata sekiranya benar wakil kerajaan membenarkan pembelian kondominium tersebut, ia mengesahkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tiada iltizam untuk memerangi penyelewengan dan rasuah.
“Skandal NFC sebelum ini terpalit dengan keluarga Shahrizat. Keputusan ini mengesahkan bukan sahaja melibatkan keluarga bekas menteri itu, tetapi keseluruhan Umno kerana pimpinan di dalam kerajaan memberi izin dana NFC digunakan untuk membeli kondominium,” katanya.
Beliau mengingatkan pimpinan Umno supaya jangan terlalu ghairah menggunakan alasan kononya pembelian itu mematuhi prosedur untuk lari daripada tindakan undang-undang.
Mohamad Salleh hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat.
Beliau sebelum ini dituduh melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek NFC untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.
Selain itu Salleh juga didakwa memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke akaun syarikat milik beliau dan anaknya, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan