Ahad, 29 November 2015

Benarkah DAP ada perjanjian sulit P. Pinang 2008?

 
Perjanjian itu dikatakan Guan Eng setuju menjadi Ketua Menteri selama sepenggal.


lim guan eng


GEORGE TOWN: Lim Guan Eng dicabar supaya menerangkan adakah benar wujudnya perjanjian sulit dalam DAP pada 2008 untuk jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan membuat desakan itu susulan risalah yang mendakwa wujudnya perjanjian itu yang disebarkan pada Konvensyen DAP Pulau Pinang.

Katanya, Setiausaha Agung DAP itu perlu menjawab dakwaan tersebut bagi menjaga kepentingan rakyat.

“Apakah sebenarnya perjanjian itu? Pengundi DAP ada hak untuk tahu,” katanya kepada FMT.

Risalah itu menyebut “Lim Guan Eng adakah awak masih ingat? 8 Mac 2008 Hotel Hard Rock Café, Pulau Pinang. Awak rompak jawatan Ketua Menteri seseorang. Tetapi ok dan kita buat perjanjian. Tetapi sekarang awak mengkhianati perjanjian itu”.

Risalah itu diedarkan kepada perwakilan yang menghadiri konvensyen itu di Bukit Jambul pada pagi Ahad.

Beberapa ahli parti kanan percaya perjanjian itu membolehkan Guan Eng menjadi Ketua Menteri hanya satu penggal sebelum diserahkan kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

“Penting untuk rakyat tahu apakah perjanjian itu. Guan Eng tidak boleh melarikan diri seperti lazimnya apabila ditanya soalan.

“Jika risalah sebegini boleh diedar oleh ahli DAP sendiri, ada sesuatu yang tidak kena di sini. Hanya Guan Eng sahaja boleh memberikan penjelasan perjanjian itu,” kata Huan.

Dia mendakwa, Guan Eng tidak pernah diuji sama ada diterima oleh ahli DAP di Pulau Pinang dan kerana itu dia mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang bertanding dalam permilihan DAP negeri untuk membuktikan pengaruhnya lebih kuat berbanding Chow.

Dalam demonstrasi bantahan di pusat konvensyen, beberapa ahli DAP mendesak Guan Eng memberi laluan kepada Chow sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Tiada ulasan: