Jumaat, 27 November 2015

Shafie Apdal kritik UMNO kerana tiada ucapan Muhyiddin pada PAU

 
Sudah menjadi kebiasaan kepada ahli UMNO mendengar ucapan Timbalan Presiden setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.


Shafie-Apdal


PETALING JAYA : Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengkritik UMNO berhubung keputusan supaya perasmian mesyuarat sayap-sayap parti sempena Perhimpunan Agung UMNO dilakukan oleh ketua sayap bukannya Timbalan Presiden seperti lazimnya.

Naib Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu yang dikatakan atas permintaan oleh ketua-ketua sayap parti adalah sesuatu yang tidak wajar.

Beliau berkata, menjadi kebiasaan bagi ahli-ahli UMNO untuk mendengar ucapan, pandangan dan harapan bukan sahaja daripada Presiden parti tetapi suara dari akar umbi termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan perwakilan.

“Setiap teguran yang dibuat pasti untuk penambahbaikan dan juga asas kepada kekuatan parti terbesar negara ketika ini. UMNO yang menjangkau usia 70 tahun sepatutnya lebih terbuka dan tidak hanya inklusif untuk kepentingan individu-individu tertentu.

“UMNO bukan dimiliki oleh seorang ahli, UMNO adalah hak kepada lebih tiga juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan parti keramat sejak sekian lamanya,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Shafie, Ahli Parlimen Semporna turut menyindir kehendak yang dibuat oleh ketua-ketua sayap tersebut.

“Kalau itulah kehendak ketua-ketua sayap yang lebih arif tentang perjuangan dan memahami perjuangan UMNO lebih daripada pemimpin yang lebih berpengalaman, saya hormati keputusan kolektif tersebut.

“Tetapi sekurang-kurangnya takkanlah Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden tidak boleh berucap di dalam penggulungan?,” soalnya.

Beliau turut yakin dan pasti bahawa ahli UMNO di peringkat akar umbi mahu mendengar, meneliti dan menilai apa yang ingin disampaikan oleh barisan kepimpinan ketua-ketua sayap, Naib-Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden parti.

“Tidak lama dulu Presiden parti pernah menyuarakan dan mahukan supaya UMNO perlu reform, setiap ahli parti di peringkat akar umbi perlu lakukan perubahan demi perubahan, bagi memastikan UMNO ini kekal sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan dengan peredaran masa, mampu menarik minat orang-orang muda dan sebagainya.

“Tetapi sayangnya proses pembaharuan ini tidak lengkap dan tidak berlaku di peringkat bawahan sahaja, sebaliknya ia perlukan komitmen dan juga sokongan di setiap peringkat, terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan menentukan hala tuju parti keramat ini,” jelasnya.

Tiada ulasan: