Pada mulanya, Setiausaha
Agungnya (Datuk Seri Tengku) (dulunya Teuku) Adnan Mansor dilaporkan sebagai
berkata, liputan akan dihadkan kerana media massa memutarbelitkan laporan.
Berita itu mendapat kutukan
meluas di kalangan pengamal media massa, termasuk yang pro-Umno atau di bawah
gajian Umno serta oleh peserta media sosial.
Kini Tengku Adnan dipetik
sebagai berkata tindakan itu “tidak terjadi selepas menerima maklum balas daripada
wakil-wakil negeri yang mahu liputan langsung.”
"Ini bermakna media pun
boleh melaporkan secara terbuka. Liputan media adalah sama seperti
perhimpunan-perhimpunan agung lepas," katanya pada sidang akhbar di Kuala
Lumpur hari ini.
Dolak-dalik Tengku Adnan tanda terdesak |
Tengku Adnan sebelum ini berkata, sekatan terhadap media dibuat kerana media online suka "memutarkan berita".
Katanya, media akan terus
dimaklumkan perkembangan perhimpunan itu melalui sidang media harian yang akan
diberikan oleh dua orang naib presiden Umno.
Kepemimpinan Umno Sesat Jalan
Masalah Umno hari ini adalah
kerana para pemimpinnya gagal membezakan di antara parti dan kerajaan dengan di antara Presiden
Umno dan Perdana Menteri.
Akibatnya mereka mengkhianati
amanah dan mengetepikan asas serta dasar perjuangan parti dan hukum-hakamnya.
Mereka lupa bahawa PAU adalah
badan pembuat dasar tertinggi parti. Di situlah aspirasi dan kepentingan ahli
parti diperjuangkan dan ditegakkan.
Tetapi kerana kuasa, sogokan dan
peras ugut, majoriti pemimpin atasan Umno telah melencongkan arah tuju PAU
dengan menjadikannya seolah-olah mesyuarat Kabinet untuk menyokong
kerajaan dan ikut telunjuk Perdana Menteri, (Datuk Seri
Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak.
Mereka mengabaikan tugas dan hak
istimewa Umno sebagai parti yang berkuasa ke atas kerajaan sebaliknya
membenarkan parti diperkuda oleh
kerajaan, khususnya oleh Perdana Menteri dan konco-konco beliau.
Mereka
lupa bahawa Umno
mendahului kerajaan. Sebelum ada kerajaan, Umno sudah ada. Kerajaan laku
selama lima tahun sahaja, tetapi Umno laku sepanjang masa selagi
mendapat sokongan
orang Melayu.
Bahana Pemimpin Dangkal
Nampak sangat dangkal dan
korupnya pemikiran Ahli Majlis Tertinggi, Pengerusi-pengerusi Perhubungan
Negeri, Ketua-ketua dan ahli Jawatankuasa Bahagian apabila mengorbankan parti
kerana mempertahankan perbuatan Perdana Menteri.
Mereka tidak kisah akan hakikat
bahawa Perdana Menteri melakukan apa yang beliau lakukan tanpa berunding atau
memberitahu Umno.
Hanya setelah didedahkan dan
tersepit barulah beliau dan tukang ceritanya membuat helah kononnya apa yang
beliau lakukan itu adalah untuk Umno.
Kalau apa yang beliau lakukan
itu untuk Umno, sekalipun seandainya salah dari segi undang-undang dan
konvensyen, ia tetap salah. Umno tidak boleh diseret untuk bersubahat.
Tugas
pemimpin Umno yang beriman dan bermoral bukan mempertahankan perbuatan salah Perdana Menteri atau mana-mana ahli.
Tugas pemimpin Umno yang beriman
dan bermoral adalah mempertahankan nama baik Umno dan maruah orang Melayu serta
Islam.
Akibat sesat jalan inilah Umno
berpecah-belah, dihina dan disyaki. Kerana bersekongkol mempertahankan perkara
yang salah sehinggakan sampai hendak berdepan dengan media massa pun takut.
Lari sana lari sini. Sembunyi
sana sembunyi sini macam kawar, kata orang Utara. Kawar adalah salah sebut
orang Kedah terhadap istilah Inggeris “coward” - penakut.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan