Rabu, 25 November 2015

Kongres KEADILAN bertema ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar’

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Kongres Nasional KEADILAN akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 28 dan 29 November ini dengan bertema ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar’.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, pemilihan tema itu mengambil kira krisis kepimpinan negara yang menyebabkan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin merudum.

“Kepimpinan alternatif yang paling sesuai dengan keperluan mendesak itu adalah tidak lain dan tidak bukan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Makanya, KEADILAN mengambil pendirian bahawa pembebasan rakyat dari kepimpinan tempang Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berkait rapat dengan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada kenyataan media.

Beliau berkata, kongres berkenaan akan disertai 1,530 perwakilan daripada 218 cabang KEADILAN di seluruh Malaysia dan 500 pemerhati daripada pelbagai pertubuhan.

Menurut Rafizi, perbahasan sepanjang kongres itu juga akan berkisar mengenai krisis kepimpinan Najib dan pelbagai dasar tidak popular dilakukan kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu, beliau berkata kongres kali ini akan menampilkan kelainan apabila empat tokoh Melayu akan diberi peluang menyampaikan pidato mereka.

Tiga daripada tokoh itu telah menyertai KEADILAN iaitu Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Manakala seorang lagi merupakan mantan pemimpin NGO Islam yang dijangka akan mengumumkan kemasukan dalam KEADILAN pada masa terdekat.

Tiada ulasan: