PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberi amaran
kepada sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) serta PAS, agar tidak
melaga-lagakan pimpinan parti itu berhubung apa jua isu.
"Ini adalah ketetapan Majlis Pimpinan Pusat yang bersidang pada 11 Oktober lalu yang diperlukan oleh semua anggota parti.
"Kita mahu semua pihak, termasuk rakan-rakan kita menghormati pendirian
yang diambil PKR dan jangan melaga-lagakan pimpinan di dalam PKR,"
katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan
(AMK) dan Wanita Tahunan Kali ke-11 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya
Petaling Jaya (MBPJ), pagi tadi.
Tegas Azmin meskipun wujud perbezaan pandangan, sama ada DAP dan Parti
Amanah Negara (Amanah) serta PAS perlu menghormatinya dan mempertahankan
kerjasama itu.
"Budaya di dalam PKR segar... Kita meraikan perbezaan pendapat tetapi
sama sekali tidak mengizinkan perpecahan," demikian menurutnya lagi.
Azmin berkata demikian dipercayai merujuk kepada kontroversi lima ADUN
PKR Pulau Pinang dituduh Ketua Menterinya, yang juga Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng, sebagai 'bersama' dengan Umno Barisan Nasional (BN),
hanya kerana bersikap berkecuali dalam undian usul tambak laut, dinegeri
itu.
Guan Eng juga dilaporkan berkata tindakan lima ADUN PKR itu sebagai ada
kaitan dengan cubaan rampasan kuasa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1
yang kini disandang Mohd Rashid Hasnon.
Menafikan dakwaan itu, PKR peringkat Pusat meminta DAP Pulau Pinang
agar tidak memanjangkan isu tersebut dan menjelaskan kesemua lima ADUN
itu sudahpun menjelaskan alasan tidak mengundi dan ia diterima pimpinan
parti.
Azmin kemudiannya mengalu-alukan penyertaan Amanah dalam gabungan PH
dan dalam masa sama menegaskan tahaluf siyasi dengan PAS masih
diteruskan seperti biasa.
"PKR menyambut kelahiran Amanah dan menerima dalam keluarga besar kita,
PKR akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan kerjasama dengan PSM
serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai
hak serta agenda rakyat," kata Azmin.
Sebelum ini PKR Selangor diasak hebat DAP yang mahu parti itu mengiktiraf PH Selangor dan memutuskan kerjasama dengan PAS.
Dalam kongres DAP baru-baru ini, Ketua Pemuda Dapsy Teo Kok Seong
melahirkan rasa kesalnya terhadap Azmin yang enggan mengiktiraf Pakatan
Harapan di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan