Jumaat, 27 November 2015

Husam sahkan temui Pas Isnin ini


Husam Musa
Husam Musa
 
 
SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini mengesahkan beliau akan menemui Jawatankuasa Harian Pas untuk memberi penjelasan mengenai dakwaannya terhadap presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Isnin ini.

Husam berkata, beliau menerima jemputan itu daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menerusi pesanan Whatsapp sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air pada minggu lalu.

“Saya telah memberikan tarikh 30hb November ini untuk pertemuan itu. Masa yang ditetapkan ialah 2 petang, di pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut dan saya akan hadir Insya-ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes Husam: Dewan Harian Pas tetap mesyuarat esok]

Sebelum ini, Pas mengeluarkan surat arahan kepada Adun Salor itu untuk tampil ke Dewan Harian Pas Pusat, 24 November lalu.

Takiyuddin berkata Husam perlu memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan beliau yang dibuat kepada umum sebelum ini.

Husam dalam laporan sebelum ini mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor pada 2008.

Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Baharu yang dikongsi di Facebook Husam pada 6 November lalu.

Tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang sehingga Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengajak Husam untuk bersemuka dalam majlis terbuka bagi mendapatkan penjelasan berhubung kritikan tersebut.

Tiada ulasan: