BUTTERWORTH: Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengiktiraf Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR di bawah pimpinan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau mendakwa kini terdapat dua kumpulan dalam kalangan wakil rakyat PKR di Dewan Undangan Negeri iaitu ADUN Pantai Jerejak (Mohd Rashid) dan ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen.
"Selepas pengundian dijalankan di dewan ada dua kumpulan dalam PKR. Satu dipimpin Datuk Mohd Rashid Hasnon bersama dua anggota Exco, Dr Afif Bahardin dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta timbalan speaker Datuk Maktar Shapee. Lima ADUN lain dipimpin Ong Chin Wen.
"Hari ini saya rasa, ketua cabang PKR Bagan dan Pengarah Komunikasi PKR negeri Farid Arshad telah menyatakan sokongan kepada Datuk Mohd Rashid. Saya rasa itu penting kerana kami nak tahu (ADUN) PKR mana berada di bawah pimpinan Datuk Rashid dan Ong Chin Wen.
"Kerajaan negeri hanya mengiktiraf pimpinan di bawah Datuk Rashid kerana beliau dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek membina jambatan melintasi parit di Jalan Pangsapuri Emas, di sini hari ini.
Isu berhubung ADUN PKR itu timbul berikutan lima wakil rakyat parti itu memilih berkecuali sewaktu undian dijalankan terhadap usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lepas (20 Nov).
Lima ADUN PKR yang berkecuali itu ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).
PKR mempunyai 10 kerusi DUN. Dua lagi ADUN PKR, Datuk Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana masing-masing adalah speaker dan timbalan speaker DUN.
Lim, bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR untuk menyelesaikan isu itu.
Ditanya mengenai desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mahu beliau menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya melabel lima ADUN berkenaan memihak kepada Umno, Lim enggan mengulas isu itu.
Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kerajaan DAP Pulau Pinang menerima dengan hati terbuka perletakan jawatan 1,083 anggota PAS sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini.
"Kami ucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang mereka berikan sebelum ini. Kami akan bincang perkara lain sehingga kita terima surat. Saya rasa ahli PAS yang menjadi ahli Parti Amanah Negara boleh meneruskan perkhidmatan mereka," katanya.
Semalam, Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang mengarahkan kesemua 1,083 anggota JKKK daripada parti itu di negeri ini, meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan