Oleh: Ermizi Muhamad
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin mempersoalkan langkah kerajaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membendung ancaman keganasan di negara ini.
Menurutnya, kerajaan gagal mengambil pendirian tegas kegiatan itu dengan merujuk ancaman puak pelampau ketika ini termasuk yang dikeluarkan melalui laman sosial.
“Ini termasuk ancaman oleh pengguna media sosial dari Selangor kepada Che Gu Man, seorang aktivis politik dari Terengganu yang dituduh sebagai ‘murtad’ dan harus dibunuh.
“Sebelum ini, seorang ulama dari Kedah telah menerima ancaman bunuh kerana perbezaan idealogi politiknya. Sehingga kini, tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap isu-isu seperti ini,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.
Beliau setuju dengan pendapat pakar-pakar antarabangsa seperti Prof Rohan Gunaretna dari Singapura yang menyatakan ideologi pengganas lebih ke hadapan dan sukar dibendung kerajaan.
Masyarakat antarabangsa kini berdepan ancaman keganasan apabila berlakunya serangan pengganas di beberapa buah negara. Terbaharu keganasan dilaporkan berlaku di Perancis yang mengakibatkan ratusan terbunuh.
Bimbang perkara sama berlaku di negara ini, beliau menegaskan kerajaan melalui kerjasama Jakim perlu memantau sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan gerakan yang bertentangan dengan keharmonian negara.
“Saya berpendapat bahawa mereka boleh memainkan peranan yang lebih adil dan berkesan untuk umat Islam di negara ini tanpa apa-apa faedah politik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan