Sabtu, 14 Februari 2015

PKR tempang tanpa Anwar


Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya. - Foto Bernama Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya. - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Pemerhati politik berpendapat perjalanan PKR tempang selepas tulang belakangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan lima tahun selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
 
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kehebatan PKR selama ini adalah kerana sosok Anwar Ibrahim.
 
PKR tanpa Anwar memang tempang. Selama ini, kehebatan PKR itu adalah kerana Anwar. Jadi, sekarang menjadi cabaran dan ujian kepada pemimpin yang tinggal di belakang ini untuk memastikan mereka mengurangkan konflik dalam parti.
 
“Anwar itu harus jadi inspirasi kepada mereka untuk memantapkan lagi PKR dan bergerak ke hadapan,” katanya kepada Sinar Online.
 
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman pula mencadangkan agar PKR segera melaksanakan penyusunan semula pemerintahan.
 
“Saya kira untuk beberapa ketika yang terdekat ini, mungkin PKR perlu melaksanakan susunan semula dan ‘realignment’ pemerintahan dan kepimpinan.
 
PKR kena bincang siapakah yang akan membawa panji-panji untuk PKR selepas ini,” katanya.
 
Meskipun ramai yang menjangka Azmin Ali sebagai pengganti Anwar dalam kepimpinan PR, wujud pula kekangan jawatannya sebagai orang nombor dua parti dan membelakangkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
“Sekarang ini yang ada kuasa Azmin Ali walaupun Presidennya Wan Azizah. Tapi Wan Azizah pula hanya Adun, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Tiada ulasan: