Selasa, 17 Februari 2015

Kematian yang menghidupkan



Oleh Ismail Hashim Yahaya 


Kematian ulama tersohor nusantara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menjadi sebuah wacana (discourse), teks dan kumpulan tanda-tanda untuk dimaknai setiap orang. Ia dapat ditatapi dalam segenap media. Bahkan kematian itu kini menjadi imagologi kematian (imagology of death): keprihatinan, kedukaan, dan empati yang dibangun melalui citra-citra media.

Di samping itu kematian Allahyarham turut dimuati pula dengan tafsir-tafsir politik, sosial bahkan spiritual. Isu-isu seperti penyatuan Umno-PAS, masa depan Pakatan Rakyat dan masa depan politik PAS di Kelantan dan pengganti kerusi Chempaka di Kelantan turut dibincangkan, bahkan turut diberitakan mengenai parti Umno yang tidak akan menghantar calon di pilihan raya kecil nanti.

Jika diteliti dalam media sosial, kematian Ulama unggul ini dinarasikan dari hari ke sehari, detik ke detik, minit ke minit dalam format citra virtual-digital dalam kepelbagaian bentuk dan wahana media Internet.

Semasa Tuan Guru sakit, kesakitan itu menjadi narasi dari hari ke sehari detik ke sedetik berserta gambar dan siapa yang melawatnya. Ia menjadi citra awam, seakan-akan kesakitan Tuan Guru menjadi kesakitan awam; harapan-kecemasan awam, doa keluarga menjadi doa awam, Sakit dan kematian Tuan Guru itu sendiri membangunkan sebuah ruang awam, menjadi duka, keprihatinan dan doa rakyat jua.

Akhbar Cina menyebut Allahyarham sebagai "Yi Tai Zhong Si" atau "Tok Guru Sepanjang Zaman".

Begitu tinggi penghormatan untuk Mursyidul Am PAS itu. Apa yang sebenarnya menjadi duka dan keprihatinan awam, narasi detik ke detik sama ada penyokong PAS ataupun yang bukan PAS adalah kerana kita, umat Islam di Malaysia kehilangan seorang murabbi.

Susan Sontag dalam bukunya "Regarding the Pain of Others" (2003), berkata abad maklumat berupaya menghadirkan kesakitan, kematian dan duka seseorang ke hadapan mata setiap orang sehingga membentuk duka awam.

Akan tetapi, teknologi maklumat ini tidak saja dapat menyalurkan maklumat dengan kecepatan tinggi dan secara real time, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam (amplifier effect) sehingga duka individu kini menjadi duka setiap orang.

Semiotika duka, kesedihan dan nestapa di abad maklumat ini dapat meninggalkan kesan mendalam. Di satu pihak, melalui tanda kesedihan atas kematian, orang mengungkapkan rasa simpati.

Manakala di pihak 
lain, ungkapan duka dapat menjadi publisiti media iaitu memperlihatkan ungkapan kesedihan kepada awam yang meninggalkan kesan.

Kematian Tuan Guru dilihat sebagai ikon yang sukar dicari ganti yang akan bawa landskap baru politik Malaysia.

Julia Kristeva dalam bukunya Black Sun: Depression and Melancholia (1989) mengatakan, duka dan kesedihan tidak sekadar suatu fenomena psikik, tetapi memerlukan pernyataan.

Kesedihan tidak mungkin hanya disimpan dalam hati, tetapi 
harus diungkapkan melalui tanda-tanda sehingga menjadi sebuah
 semiotika kesedihan atau melankolik (semiotics of melancholia).

Tangisan, berdoa,
 menziarah, membawa ayat-ayat Alquran, berzikir, bersimpati, menyampaikan takziah adalah sebahagian dari
semiotika melankolik atau kesedihan itu.

Meskipun ungkapan kesedihan sejati boleh saja bebas dari sebarang kepentingan, namun ungkapan rasa kesedihan dapat pula menjadi sebuah kempen dan strategi politik bagi pihak lawan dan kawan.

Agama mengajar mengenai etika ketika dalam kesedihan dan nestapa, dalam suasana sedemikian adalah tidak beretika sekiranya menyebutkan aib, kesalahan dan keburukan seseorang dan digalakkan menyebutkan kebaikan, jasa dan sumbangannya.

Sebaliknya dalam jangka masa panjang kesedihan memiliki sama ada dimensi pelupaan yang buruk atau pengingatan yang baik. Kesedihan adalah mistik pelupaan (forgetfulness) dan pemaafan (forgiveness).

Namun, seperti dikatakan Richard Rorty dalam bukunya Achieving Our Country (1998), pemaafan dan pelupaan dapat berakhir kepada penipuan sejarah bangsa.

Ini kerana pengukiran sejarah kebanggaan nasional yang tidak melulu melalui cerita pencapaian membanggakan dari tokoh-tokoh sejarah, tetapi juga narasi-narasi menyakitkan sebagai sarana bagi pembelajaran dan pendidikan rakyat tentang kejujuran sejarah.

Kemaafan juga dapat berakhir kepada penguburan sejarah pedih tetapi melahirkan dendam sejarah. Kita tidak pasti sejauh manakah cadangan penyatuan PAS-Umno boleh membawa kepada kemaafan kerana yang akan muncul ialah keadilan.

Terdapat dua jenis kematian, kematian sarat makna dan kematian hilang makna.

Kematian sarat makna apabila kematian seseorang tokoh pemimpin meninggalkan ilmunya untuk diwarisi dan dihidupkan. Beliau mungkin tidak meninggalkan warisan fizik seperti bangunan atau empayar tetapi ilmu diamalkan sepanjang hayat.

Ia adalah kematian yang menghidupkan yang membawa rahmat dan kesejahteraan dan perjuangan menghidupkan keadilan.

Kematian hilang makna ialah kematian yang tiada ilmu untuk diwarisi, dipelajari dan dihayati. Walaupun beliau itu meninggalkan banyak jasa dari pembangunan fizikal tetapi ia hanyalah objek tegar yang tidak berbicara.

Kematian hilang makna juga ialah apabila seseorang tokoh meninggal segala sisa empayarnya akan digeroti dan kaum keluarga akan dihancur, dikucar kacirkan sehinggakan berlakunya porak peranda.
Malah musuh dalam selimut akan menunggu masa untuk menggegarkannya.

Ia adalah kematian yang mematikan dan membawa lebih banyak kesengsaraan dan malapetaka. –

* Penulis adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel), kampus Shah Alam.

Tiada ulasan: